Sultan Johor Titah Rakyat Pelajari Ilmu Agama Dengan Ustaz Bertauliah

JOHOR BAHARU, 31 Mac  — Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar hari ini bertitah menyeru umat Islam di negeri ini supaya mempelajari ilmu agama menerusi ustaz bertauliah dan merujuk kepada kitab-kitab yang muktabar.

Sultan-Ibrahim-JohorSultan Ibrahim bertitah perkara terbabit perlu supaya umat Islam tidak terkeliru dan terpedaya dengan fahaman yang menyimpang dari landasan Islam yang sebenar seperti fahaman syiah, liberalisme dan pluralisme.

“Malahan, yang lebih merbahaya ialah fahaman yang boleh membawa kepada keganasan dan mengancam keselamatan rakyat seperti gerakan militan Daesh,” titah Sultan Ibrahim.

Titah baginda itu dibacakan oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim pada majlis perasmian Multaqa Ulama Johor Darul Ta’zim kali keempat, di sini hari ini.

Multaqa sehari itu disertai lebih 1,000 peserta termasuk penjawat awam.

Mengenai multaqa berkenaan, Sultan Ibrahim bertitah ia diharapkan dapat meningkatkan tradisi penghayatan ilmu dalam masyarakat dengan menghidupkan kembali budaya ilmu berasaskan kepada panduan al-Quran dan sunnah yang bertepatan dengan pandangan ulamak melalui tafsiran sebenar.

Baginda bertitah majlis seumpama itu juga dapat memantapkan iman supaya tetap berpegang teguh kepada akidah ahli Sunnah Wal-Jamaah dalam lubuk sanubari masyarakat Islam sekali gus mampu mengekang fahaman sesat.

Sultan Ibrahim juga menyeru seluruh umat Islam di negeri ini supaya menghormati institusi mufti dan menerima fatwa yang dikeluarkan oleh mufti sebagai individu yang bertanggungjawab mengeluarkan dan menentukan hukum hakam dari semasa ke semasa dan menjadikannya sebagai rujukan jika berlaku kekeliruan serta perselisihan faham.