Perlu Kerja Lebih Kuat Jika Mahu Tawan Semula Parlimen Kluang – Jais

KLUANG : Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota, Yb Tn. Hj Md Jais Sarday menyeru seluruh kepimpinan dan ahli parti dalam Barisan Nasional (BN) supaya memainkan peranan masing-masing dan bekerja lebih kuat jika mahu menawan semula Parlimen Kluang pada pilihan raya umum akan datang.

12472577_1052416488130713_8712089891848157593_nBeliau berkata, perkara itu perlu kerana segala rancangan pembangunan yang telah dan akan dilaksanakan di kawasan ini sukar dijayakan sekiranya tidak mendapat sokongan padu dan kerjasama dari semua pihak.

“Banyak perkara yang berkaitan dengan menyelesaikan masalah setempat telah saya lakukan.. dan banyak lagi perancangan yang ingin kita jayakan,”

“Oleh itu saya menyeru rakan-rakan dalam BN supaya dapat berganding bahu bagi memastikan dasar kerajaan negeri dan pusat dapat dilaksanakan dengan lancar” katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis ramah mesra bersama kepimpinan dan ahli-ahli MCA Kluang, Johor baru-baru ini.

Dalam majlis berkenaan, Md Jais Sarday yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan & Koperasi Kerajaan Johor turut memberi penerangan mengenai projek-projek pembangunan yang berkaitan dengan Kluang.

Pada masa yang sama, beliau turut menyeru kepimpinan akar umbi MCA supaya dapat memainkan peranan lebih proaktif dalam memberi penerangan tentang dasar kerajaan terutama kepada kaum Cina agar apa yang dirancang demi kesejahteraan rakyat Kluang dapat dijayakan.