Politik Persepsi Perlu Ditangani Segera Demi Kelangsungan UMNO

KLUANG, 30 Mac – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Md Jais Sarday berkata, cabaran dunia politik masa kini adalah bagaimana mahu menguruskan politik persepi yang dilihat masa kini bakal menentukan untung nasib ahli politik di atas landasan demokrasi sesebuah Negara.

20160329194822Jelasnya, politik persepsi ini perlu ditangani segera kerana jika tidak di tangani dengan betul dan tangkas, ia bakal menjadi sesuatu yang amat merbahaya kepada Negara.

“Cabaran politik masa kini adalah bagaimana kita sebagai jentera parti mahu menguruskan kepelbagaian persepi yang wujud dalam pemikiran rakyat. Sekarang ini orang sudah pandai serba serba terutama dalam era teknologi maklumat dan komunikasi.

“Perkara yang tidak benarpun bila diulang berulangkali orang jadi percaya. Jadi macamana nak menguruskan perkara ini. Sebab itu saya mencadangkan supaya di mana kita ini satu parti yang cukup tersusun dari segi struktur baik dari peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan, perlu menggerakkan jentera sebaik mungkin bagi mengatasi dan memahamkan rakyat.

“Jentera ini pula terlebih dahulu mesti diterangkan dan diberi input supaya mereka boleh menyampaikan dengan betul kepada rakyat. Ini kerana kaedah politik sekarang bukan seperti dahulu. Dulu pergi kampung… melawat orang sakit, orang dah rasa… tapi sekarang bila di pemikiran sudah lekat persepsi, buat apapun selagi tak ubah apa yang ada dalam pemikiran orang selagi itu tidak akan mampu ubah sokongan mereka,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Justeru itu Jais menegaskan, semua pihak harus sedar bahawa sekarang ini persepsi amat berkuasa dalam politik dan kerana itulah persepsi juga boleh menguat atau meroboh sesebuah kerajaan di atas mana-mana paradigma demokrasi.

Kebijaksanaan mengurus persepsi terutamanya di alaf digital sangat penting demi memastikan kelangsungan masa hadapan UMNO sebagai tonggak pemerintah negara.

“Persepsi ini boleh jadi kawan yang menguntungkan tetapi juga boleh jadi lawan yang sukar dibendung. Dalam kita membawa wadah perubahan, kita tidak hanya memerlukan sebuah konsep malah perlaksanaan konsep itu yang lebih sukar untuk dilaksanakan.

“Kerana itu saya amat mengaskan jentera parti perlu diberi input sebaik mungkin bagi memastikan mereka ini dapat membantu parti menyakinkan rakyat agar rakyat kembali memahami dan terus menyokong kita,” tambahnya lagi.