Lahir Usahawan Wanita Berjaya

ISKANDAR PUTERI, 29 Mac – Pejabat Pembangunan Wanita negeri telah melatih 734 wanita, membabitkan 365 ibu tunggal dan 369 wanita menerusi program Inkubator Kemahiran Ibu Tunggal (I-KIT) serta Inkubator Keusahawanan Wanita (I-KeuNita) sejak lapan tahun lalu.

Inkubator-Kemahiran-Ibu-TunggalPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Asiah Md Ariff berkata, daripada jumlah itu, seramai 250 peserta berjaya meningkatkan pendapatan kepada 50 peratus daripada pendapatan asal dan 74 orang berjaya memperoleh pendapatan melebihi RM1,500 setiap bulan.

Menurutnya, menyedari statistik itu masih rendah untuk melahirkan usahawan wanita berjaya memperoleh pendapatan lebih RM1,500 setiap bulan, pelbagai program keusahawanan telah dilaksanakan.

“Ia bagi meningkatkan jati diri dan keyakinan wanita untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan sebaik sahaja selepas menerima kursus kemahiran.

“Wanita luar bandar turut berpeluang mempelajari kemahiran dan diberi pendedahan melalui program ‘outreach’ ke kawasan Parlimen seluruh negeri.

“Antara program yang telah dilaksanakan seperti program Jejari Bestari, Kraf Kreatif dan Keusahawanan. Daripada program tersebut, seramai 15,615 wanita telah mendapat manfaat sepanjang 2008 hingga 2015,” katanya ketika merasmikan program Transformasi Minda Usahawan Boleh ‘U Boleh’ di Dewan Tayangan di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Pejabat Pembangunan Wanita negeri, Mohamad Ali Taib.

Asiah berkata, kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) turut membantu golongan wanita dan ibu tunggal,  yang mana ia melibatkan 4,062 wanita dalam 194 kursus kemahiran di seluruh negeri ini pada tahun lalu.

“Wanita yang telah dilatih akan layak menerima bantuan peralatan bagi meneruskan kesinambungan pembelajaran sehingga ke peringkat keusahawanan.

“Ia jelas menunjukkan kerajaan sentiasa bantu meningkatkan pendapatan wanita dan komited untuk melahirkan ramai usahawan berjaya,” katanya.

Tambahnya, seramai 399 ibu tunggal dan wanita berpendapatan rendah menerima bantuan geran pelancaran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan 158 orang menerima bantuan peralatan daripada YPKDT antara 2010 hingga 2015