Gerakkan Gotong-Royong Bersih Kampung

PASIR GUDANG – Lebih 40 penduduk Kampung Sungai Rinting D, di sini, menggerakkan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan rumah sebagai langkah awal pencegahan wabak denggi.

imageKetua Cawangan UMNO Kampung Sungai Rinting, Suratmin Alwi berkata, penduduk di kampung itu sentiasa peka dengan kebersihan persekitaran, apatah lagi selepas menyedari keseriusan demam denggi di negeri ini tahun ini.

Menurutnya, beliau bernasib baik apabila aktiviti dua kali setahun itu sering mendapat kerjasama baik daripada semua penduduk kawasan berkenaan.

“Kita bimbang apabila kerap mendengar taman perumahan berhampiran mengadakan semburan asap membunuh nyamuk.

“Alhamdulillah, cadangan untuk mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan kediaman disambut baik penduduk tanpa mengira umur,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, kelmarin.

Suratmin berkata, lebih istimewa apabila ramai penduduk membawa makanan untuk dinikmati bersama-sama selepas mengadakan gotong-royong.

Menurutnya, itulah keunikan penduduk Kampung Sungai Rinting D yang masih utuh dengan muafakat sama ada dalam kalangan orang muda atau warga emas.

“Saya bangga dengan sikap anak muda yang boleh turut bersama-sama dengan orang lama meluangkan masa bergotong-royong membersihkan kawasan kediaman. – Sinar Harian