SPAD akan bincang selesai isu Uber, Grabcar

JOHOR BAHRU: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan memberikan penyelesaian terbaik dalam menangani isu perkhidmatan teksi dalam talian, Uber dan Grabcar yang didakwa menekan pengusaha teksi sedia ada.

12495148_1069655719768784_5819227469785727073_nPengerusinya, Tan Sri Syed Hamid Albar, berkata perbincangan akan memastikan satu keputusan terbaik yang tidak akan menekan 76,000 pengusaha memiliki lesen teksi, tetapi pada masa sama, memberikan perkhidmatan pengangkutan terbaik kepada masyarakat.

Beliau berkata, industri teksi sedia ada di negara ini perlu bergerak selari dengan kemajuan teknologi dengan turut memperkenalkan aplikasi sama seperti Uber atau Grabcar.

Katanya, pada masa sama, pengendali teksi secara dalam talian juga perlu menghormati perundangan sedia ada di negara ini.

“Ia (perkhidmatan Uber dan Grabcar) perlu dikawal selia. SPAD tidak boleh mengharamkan penggunaan sesuatu aplikasi secara dalam talian.

“Semalam SPAD sudah mengadakan perbincangan bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berhubung cara untuk memberikan perkhidmatan pengangkutan terbaik untuk masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis pelancaran logo dan pelekat Kelab Pemilik Teksi 1Malaysia (TEKS1M) Johor Bahru di sini..

Yang turut hadir, Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Abd Samad.