Pendekatan Populis Jalanan Tidak Selesaikan Masalah Negara – Annuar Musa

KLUANG, 26 Mac — Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa berkata usaha menukar kepimpinan kerajaan sedia ada melalui pendekatan populis jalanan tidak akan menyelesaikan masalah negara.

DSC_0727-1Sebaliknya, ia akan menyebabkan rakyat berpecah-belah kerana tiadanya rasa bersatu, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Berkelompok Umno Cawangan-Cawangan Peringkat Bahagian Kluang di Dewan Kampung Melayu di sini, hari ini.

“Kita ada sistem (menukar kerajaan) dan sistem itu telah pun diuji dalam sejarah. Kenapa perlu mengambil pendekatan populis jalanan yang sebenarnya hanya mengundang bahaya?,” katanya.

Beliau mengulas tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersekongkol dengan pembangkang menerusi ‘Deklarasi Mahathir’ untuk menjatuhkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Menurutnya sebarang ketidakpuasan hati haruslah disalurkan secara berhemah tanpa menggadaikan kestabilan negara yang menjadi paksi pembangunan Malaysia.

Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh bersyukur kerana rakyat memahami keadaan politik negara dan tidak terpengaruh dengan usaha Dr Mahathir.

“…kita kena menghargai demokrasi, janganlah kita terbawa-bawa sentimen individu yang memang bermasalah,” katanya.