Johor Alu-alukan Perbincangan Ganti Tambak Johor

PASIR GUDANG, 26 Mac – Kerajaan Negeri mengalu-alukan sebarang perbincangan antara Kerajaan Malaysia dan Singapura berhubung penggantian Tambak Johor.

Tambak-JohorMenteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin bagaimanapun berkata, beliau tidak boleh mengulas lanjut perkara itu dan menyerahkannya kepada Kerajaan Pusat untuk membuat pertimbangan memandangkan perkara itu melibatkan hubungan dua negara, iaitu Malaysia dan Singapura.

“Isu penggantian Tambak Johor bukan satu perkara baharu, malah semua tahu, daripada orang biasa termasuk Sultan Johor maklum sudah sampai masanya untuk menggantikan Tambak Johor.

“Namun, persetujuan mengenai hal itu tertakluk kepada perbincangan antara kedua-dua negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Komuniti Sihat dan Ceria sempena majlis pelancaran penyerahan Kit ‘Rumahku Bebas Denggi’ di Dataran Taman Mawar, di sini, hari ini.

Tambahnya, Kerajaan Negeri akan memberi sokongan terhadap keputusan menggantikan Tambak Johor sedia ada sekiranya ia dipersetujui oleh kedua-dua negara.

Sebelum ini, dalam satu temu bual bersama sebuah akhbar, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah supaya Tambak Johor digantikan bagi memastikan pengaliran air laut di Selat Tebrau berjalan lancar.

Dalam temu bual eksklusif itu, Tuanku turut memberitahu sebuah jambatan ‘swing’ boleh dipertimbangkan jika Singapura tidak bersetuju mewujudkan ‘tunnel’.

Tuanku juga berharap rakyat Johor dan Singapura dapat memberikan pandangan untuk penambahbaikan aliran trafik Malaysia-Singapura. – Jauhar