Bekas Pemimpin Pemuda UMNO Mula Gelombang Sokong PM

PONTIAN, 26 Mac — Bekas pemimpin Pergerakan Pemuda UMNO bakal digerakkan di seluruh negara untuk memberi penerangan mengenai isu-isu terkini, sekali gus mengulangi sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

600285_1076243615782946_6254065340953184329_nBekas Ketua Pemuda UMNO Johor Datuk Nasir Safar berkata ‘gelombang deklarasi menyokong kepimpinan Najib’ akan digerakkan bermula di Johor, dan seterusnya ke seluruh negara.

Nasir, yang juga Presiden Persatuan Veteran Kelab-kelab Belia (MAYC) Malaysia, akan turut turun padang bersama beberapa anggota jawatankuasa lain bagi memberi penerangan berkaitan isu-isu semasa yang selama ini diputar belit sesetengah pihak.

“Satu perhimpunan besar-besaran akan kita adakan di Kuala Lumpur pada Mei bersama bukan sahaja ahli veteran MAYC malah ahli MAYC kini,” katanya kepada pemberita selepas jamuan malam bersama kira-kira 200 anggota Persatuan Veteran MAYC negeri Johor di sini, Jumaat malam.

Nasir, Ketua Pemuda UMNO Johor dari 1988 sehingga 1993, berkata anggota veteran MAYC kecewa dengan perkembangan terkini terutama tindakan bekas pemimpin lama UMNO yang mula bekerjasama dengan parti pembangkang.

Katanya tindakan bekas pemimpin UMNO seperti Tun Dr Mahathir Mohamad yang bersepakat dengan parti pembangkang seperti DAP tidak boleh dimaafkan.

Selain itu, satu memorandum daripada bekas pemimpin Pemuda dari 1988 sehingga 1993 akan turut diserahkan kepada perdana menteri sebagai tanda sokongan memandangkan Najib juga memegang jawatan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO dari 1987 sehingga 1993.

“Kami bersedia untuk bangkit semula membantu menyatupadukan masyarakat, selain membantu menerangkan maklumat sebenar yang sebelum ini diputar belit sesetengah pihak,” katanya, sambil menyatakan sokongan padu di belakang kepimpinan presiden UMNO itu.

Dianggarkan anggota veteran MAYC adalah 10,000 orang manakala anggota MAYC kira-kira 20,000 hingga 30,000 orang di seluruh negara.