Sultan Johor Ikon Permuafakatan Bangsa Johor

JOHOR BAHRU, 23 Mac – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar merupakan ikon permuafakatan Bangsa Johor, yang mana setiap perkara yang dilakukan oleh Tuanku sentiasa mendapat sokongan daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, satu kekuatan yang tiada tolok bandingnya yang ada pada Tuanku ialah seruan dan pendiriannya terhadap Bangsa Johor.

sutan-Johor“Bangsa Johor bukan sahaja sebagai satu seruan tetapi ditunjukkan dengan penyertaan dan kehadiran Tuanku dalam pelbagai majlis perayaan pelbagai kaum dan agama.

“Beliau merupakan Sultan yang tahu menyesuaikan diri dalam zaman moden, jadi apa yang Tuanku lakukan mudah diterima dan disukai oleh masyarakat hari ini”, katanya.

Tambah beliau, perkara ini akan membantu usaha dan saranan Kerajaan Negeri supaya dapat membangunkan permuafakatan di kalangan rakyat Johor.

“Meski kita berbeza kaum, Melayu, Cina, India tetapi kita mempunyai kebersamaan yang tinggi”, jelasnya.

Menurutnya lagi, inilah kelebihan yang ada pada Tuanku selain turut memberi perhatian dan penelitian tentang bagaimana Kerajaan Negeri menguruskan dan mentadbir negeri Johor.

“Tuanku juga selalu memberi pandangan tentang bagaimana kita dapat memberi kesejahteraan yang lebih kepada rakyat”, katanya lagi.

Khaled turut berharap segala usaha kerajaan negeri menyemai permuafakatan di kalangan rakyat negeri ini akan dapat membantu memajukan Negeri Johor.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan ucap selamat kepada Sultan Ibrahim sempena sambutan ulang tahun Hari Keputeraan Tuanku.

Sultan Ibrahim diputerakan pada 22hb November 1958.

Pada tahun lepas, Sultan Ibrahim menitahkan bahawa cuti umum negeri sempena Hari Keputeraan Tuanku akan ditukar kepada 23 Mac, iaitu pada tarikh Kemahkotaan Tuanku. – Jauhar