VEP Dijangka Beroperasi Pada Jun – Hasni

JOHOR BAHRU, 22 Mac – Permit Kemasukan Kenderaan (VEP) yang kini dalam fasa ujian dijangka akan mula dilaksanakan pada bulan Jun.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Johor, Datuk Hasni Mohammad, infrastruktur bagi projek berkenaan kini sedang diuji di Tambak Johor dan Linkedua.

VEPSekurang-kurangnya 120,000 pemilik kenderaan Singapura telah didaftarkan.

“Namun demikian kami masih belum mengeluarkan tag pengenalan kod frekuensi radio pintar (RFID), serta perlu diputuskan bagaimana untuk mengedarkan tag berkenaan kepada pemilik-pemilik kenderaan.” kata beliau yang turut menambah bahawa beberapa perkara masih sedang diperhalusi.

Hasni turut memaklumkan setiap lorong kenderaan di kedua-dua Tambak Johor dan Linkedua akan dilengkapi dengan kamera dan alat pengesan bagi mengenal pasti nombor plat kenderaan dan tag RFID.

“Ini akan mencegah pihak tidak bertanggungjawab daripada menggunakan RFID pada kenderaan selain daripada yang didaftarkan untuk memasuki Malaysia.”

Tambahnya, cas RM20 yang dikenakan untuk setiap kemasukan boleh dibayar melalui Touch’n’Go.

Beliau juga menyuarakan harapan Kerajaan Negeri Johor bahawa projek itu akan berjalan sebagaimana yang dirancang tanpa kelewatan lagi.

Sebahagian daripada pendapatan VEP akan diberikan kepada Kerajaan Negeri untuk menanggung kos penyelenggaraan jalan raya.

Apabila ditanya mengenai warganegara Malaysia yang memiliki kenderaan berpendaftar di Singapura, Hasni menegaskan mana-mana kenderaan yang didaftarkan di Singapura akan dikenakan VEP apabila memasuki Malaysia.

“Kita tidak menawarkan diskaun seperti Singapura yang membenarkan sejumlah kemasukan percuma setiap tahun atau VEP percuma pada waktu-waktu tertentu di hujung minggu,” katanya.

Di Singapura, setiap kenderaan asing diberi 10 hari percuma, serta tiada bayaran VEP dikenakan pada hujung minggu.

VEP juga tidak dikenakan antara pukul 5 petang hingga 2 pagi, setiap Isnin hingga Jumaat.

Ramai rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura memilih untuk membeli kenderaan berpendaftar di Singapura bagi mengelak daripada membayar VEP bernilai S$35 (RM105) yang dikenakan di negara itu.