Pusingan 360 Darjah Pembangkang Bukan Perkara Pelik – Haslinda

KUALA LUMPUR, 22 Mac – Pusingan 360 darjah Presiden Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu serta Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang hari ini dilihat menyanjung tinggi mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bukan satu perkara pelik dan bukannya perkembangan memeranjatkan dalam politik negara hari ini.

20160321213616Ketua Penerangan Wanita UMNO Johor, Haslinda Salleh berkata cuma yang menghairankan bagaimana pintu kerjasama dibuka dengan seluas-luasnya sedangkan pemimpin yang sama sebelum ini ditohmah dengan pelbagai gelaran.

Menurut beliau masih terngiang-ngiang bukan sahaja gelaran tersebut malah gelaran demi gelaran diberikan kepada mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam usaha memburukkan kerajaan serta parti UMNO dan Barisan Nasional (BN).

“Nampak jelas dan cukup ketara apa yang mereka lontarkan sebelum ini adalah semata-mata untuk memburukkan kerajaan. Dan makin terpampang sikap hipokrit serta putar belit mereka dalam soal politik semata-mata untuk mendapatkan keyakinan masyarakat terhadap parti pembangkang dan sekaligus memburukkan kerajaan yang dipimpin oleh BN.

“Sebab itulah bagi saya secara peribadi apa yang berlaku dan perkembangan mutakhir ini sekadar menyerlahkan sikap pembangkang yang sebenarnya. Semasa di dalam UMNO ditohmah dan dikutuk dengan macam-macam.

“Namun apabila sebaliknya mereka mengambil kesmepatan berkenaan walaupun sebelum ini hampir lunyai ditohmah dan hampir saban hari menjadi bahan politik mereka,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Presiden Amanah Mohamad Sabu berkata jalinan kerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad boleh dizahirkan menerusi penyertaan dalam pelbagai perkara seperti kenyataan bersama dan perhimpunan.

Selepas Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pengundurannya daripada UMNO, Parti Amanah Negara (Amanah) “membuka pintu” kepada bekas perdana menteri itu dan mana-mana pihak bagi mengadakan sebarang rundingan atau menjalin kerjasama bersama mereka, lapor Utusan Malaysia.

Malah turut dilaporkan Tun Mahathir Mohamad mengadakan rundingan dengan Lim Kit Siang yang dilihat sebagai cubaan mantan perdana menteri itu untuk mencari kesepakatan dengan DAP untuk menjatuhkan Datuk Seri Najib Tun Razak.

Lim mengesahkan pertemuan sebelum Mahathir mengumumkan beliau keluar untuk kali kedua daripada UMNO.

Mengulas lebih lanjut Haslinda seterusnya menambah rakyat boleh melihat dan boleh mendalami serta memperhalusi politik parti pembangkang yang hanya pandai mengambil kesempatan dengan apa yang berlaku di dalam parti pemerintah hari ini.

“Itu diakui..Cuma yang kelakarnya boleh kerjasama denganpihak yang sebelum ini hampir lunyai karakter dan imejnya. Mereka mungkin lupa atau buat-buat lupa. Namun itulah politik dan itulah gaya politik pembangkang. Apa yang boleh memberikan keuntungan kepada mereka itulah yang akan menjadi sasaran,” katanya.

Untuk rekod, sewaktu menjawat jawatan Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu memperlekeh kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad sewaktu beliau menjadi Perdana Menteri.

Dia menuduh, sebagaimana Datuk Seri Najib Tun Razak, bekas Ahli Parlimen Kubang Pasu itu turut melakukan penyelewengan. Jelasnya, tidak menghairankan sekiranya Dr Mahathir menegur Perdana Menteri kerana ia dibuat berdasarkan pengalamannya sendiri. -MediaUMNO