Penyelewengan Dana Pegawai KBS Harus Dipandang Serius- Akmal Saufi

JOHOR BAHRU, 22 Mac – Pendedahan yang dilakukan oleh YB Khairy Jamaluddin berkaitan penyelewengan seorang pegawai kerajaan di Kementerian Belia dan Sukan harus dipandang serius di mana penyelewengan tersebut mungkin mencecah RM100 juta dalam tempoh beberapa tahun, ujar Akmal Saufi Mohamed Khaled, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan, Undang-undang dan Integriti, Parlimen Belia Malaysia

25604351-c559-4dce-a4c6-fb825fa8bbd9Ujarnya, ini menggugat kredibiliti kerajaan dan menimbulkan persoalan tentang keupayaan dan kekemasan sistem dan prosedur kewangan dalam kementerian-kementerian yang ada di Malaysia. Sejauh dan sedalam manakah kelemahan ini wujud?

“Perkara ini juga sekaligus menambahkan perasaan marah dan jelak rakyat terhadap sebarang kegiatan penyelewengan dana yang sepatutnya digunakan demi kepentingan bukan untuk beratus malah berjuta rakyat Malaysia.

Sesuatu penyelewengan tidak boleh disembunyikan. Ia perlu didedahkan. Ia tidak boleh dimaafkan. Tindakan tepat dan tegas perlu diambil agar perkara yang sama tidak berulang.

Tertuduh perlu disiasat dan jika bukti yang cukup ada, maka beliau perlu dibawa kemuka pengadilan. Ini bukan soal menghukum tetapi agar memberi amaran yang keras kepada mereka yang melakukan perkara sama atau yang berniat untuk melakukan perkara yang sama,” ujarnya yang juga Pengarah Barisan Nasional Youth Volunteers (BNYV)

Tambahnya, YB Menteri telah melakukan tindakan tepat dalam melakukan pendedahan, membuka ruang, memohon penyiasatan dan tindakan segera dari Ketua Setiausaha Negara yang bukan dari Kementerian Belia dan Sukan agar tiada konflik berlaku dalam proses penyiasatan.

“Saya mengambil maklum bahawa proses dan prosedur yang kita ada di dalam Malaysia sudah pastinya mempunyai kelemahan. Ia adalah ciptaan manusia. Saya juga mengambil maklum dimana-mana sahaja terdapat individu yang berniat tidak baik dan ingin menggunakan kedudukan dan kecerdikan mereka ke arah yang salah.

Tiada sebuah sistem dalam dunia ini yang tidak mempunyai kelemahan. Tetapi kita boleh menambahbaik sistem tersebut jika kelemahan itu dijumpai.

Dalam perkara sebegini, persoalannya adalah apakah tindakan yang akan kita lakukan apabila penyelewengan itu berlaku? Adakah kita bersekongkol agar tidak dikritik atau kita bertindak untuk menegakkan keadilan?,” tambahnya.

Tindakan YB Menteri adalah tindakan yang patut dilakukan oleh sesiapa saja dalam tampuk kepimpinan mana-mana organisasi dalam mencari kebenaran. Ia merupakan satu tindakan yang kita harapkan dari seorang pemimpin yang telah mendapat mandat rakyat untuk menjaga dan mentadbir negara ini.