20 Pemain Industri Berasas Bio Bakal Sertai Johor Bio Talent

JOHOR BAHARU, 22 Mac — Sebanyak 20 peserta industri berasaskan bio dari dalam dan luar negara di negeri ini bakal menyertai program Johor Bio Talent yang diperkenalkan dalam usaha untuk memperhebatkan pembangunan modal insan dalam sektor berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bioteknologi dan Biodiversiti Negeri Johor (J-Biotech) Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid berkata 20 syarikat berkenaan merupakan tambahan kepada 17 syarikat yang menyertai program itu tahun lepas.

Menurutnya, kejayaan yang dilakar program itu tahun lepas turut menjadi penyumbang peningkatan peserta industri dalam program terbabit.

“Tahun lalu, kira-kira 71 peratus penuntut institut pengajian tinggi (IPT) daripada 1,831 orang yang dilatih menerusi program berkenaan berjaya mendapat pekerjaan sebelum menamatkan pengajian mereka dan ia merupakan satu petunjuk yang baik.

“Justeru itu, J-Biotech akan memperhebatkan program Johor Bio Talent dalam usaha kita membantu menyediakan modal insan berdaya saing dan berkualiti bagi membangunkan industri itu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada 2014, Johor Bio Talent diperkenalkan oleh J-Biotech dengan kerjasama Perbadanan Bioteknologi Malaysia (BiotechCorp) dan Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi.

Ia merupakan satu program pembangunan modal insan yang menyasarkan golongan mahasiswa di peringkat universiti dengan tujuan menyediakan graduan yang berkeupayaan serta menepati keperluan serta kemahiran diperlukan industri.

Wan Amir-Jeffery berkata program tersebut diperkenalkan dalam usaha pihaknya memastikan kelestarian ekosistem industri berasaskan bio terutama dalam pembangunan dan penyediaan modal insan sentiasa relevan.

Tambahnya, ia bertujuan untuk mempersiapkan graduan industri bio menepati keperluan dan spesifikasi sektor berkenaan.

“Pada masa sama, kita juga bekerjasama aktif dengan pemain industri bagi memastikan setiap latihan dan modul yang diguna pakai dalam program Johor Bio Talent itu berkaitan dengan keperluan semasa,” katanya.