Subsidi Tambang Bas Sekolah Akan Diperluas

JOHOR BAHRU, 21 Mac – Yayasan Penyayang Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) memperuntukkan RM77,000 bagi bantuan subsidi tambang bas sekolah membabitkan 200 pelajar sekolah menengah di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

SubsidiPengerusinya, Mohamad Khairi A Malek berkata, pemilihan bantuan baru saja bermula itu bertujuan meringankan bebanan ditanggung ibu tunggal yang mempunyai pendapatan RM5,000 ke bawah untuk membiayai perbelanjaan tambang bas sekolah anak mereka.

Menurutnya, setiap pelajar diberikan subsidi tambang bas sekolah sebanyak RM35 sebulan manakala wang berkenaan disalurkan kepada pihak sekolah atau Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) kemudiannya membuat bayaran kepada pemandu bas sekolah.

“Kita akui berdepan dengan masalah bagaimana bayaran subsidi ini dapat disalurkan sama ada diberikan kepada pelajar atau terus kepada pemandu bas sekolah terlibat. Akhirnya kita bersetuju supaya bantuan berkenaan diserahkan kepada pihak sekolah sehingga ia terpaksa ditunda dan bermula pada bulan ini.

“Buat masa ini seramai 200 pelajar terpilih melibatkan 23 sekolah menengah bawah kawasan MPJBT.

“Untuk masa akan datang, kita mahu memperluaskan subsidi ini kepada golongan kurang berkemampuan. Ia antara usaha Yayasan Penyayang MPJBT terhadap bidang pendidikan yang menjadi salah satu keutamaan kami,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media, sempena Majlis Perasmian Bantuan Subsidi Tambang Bas Sekolah Yayasan Penyayang MPJBT, di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Skudai, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Yang Dipertua MPJBT, Dr Badrul Hisham Kassim.

Sementara itu, Norijah Mohamad, 48, mengakui bantuan subsidi tambang bas sekolah itu mampu meringankan bebanan perbelanjaan persekolahan anaknya kerana dia hanya bekerja sebagai pembantu tadika dengan pendapatan kira-kira RM400 sebulan.

Dia yang kematian suami sejak lima tahun lalu  perlu menyediakan kira-kira RM400 sebulan untuk perbelanjaan persekolahan dua anaknya masing-masing di tahun empat dan tingkatan satu, yang turut meliputi tambang bas sekolah dari rumahnya di Kampung Sinaran Baru, Skudai. – JAUHAR