Lebih 300 Perbincangan TPPA Diadakan Sejak 2013- Ahmad Maslan

JOHOR BAHARU, 21 Mac — Lebih 300 sesi perbincangan dan interaksi diadakan untuk menjelaskan mengenai kandungan Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) sejak 2013 bagi mendapatkan input bernilai daripada semua pihak berkepentingan.

1001028_10201815646988930_2226129792669562862_nTimbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Ahmad Maslan berkata TPPA akan banyak memberi manfaat kepada Malaysia kerana ia bakal membuka lebih banyak ruang bagi negara untuk mengembangkan ekonomi.

“Pembabitan negara dalam perjanjian ini memberikan kita akses ke pasaran baharu dan sedang pesat membangun, melengkapkan usaha-usaha sedia ada kita di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Pameran Kerjaya di Universiti Teknologi Malaysia, di sini, hari ini.

Apa yang lebih penting, kata Ahmad, perjanjian itu juga akan menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan terutamanya bagi graduan dan tenaga kerja pada masa hadapan dengan membawa masuk pelaburan asing ke negara ini.

Sementara itu, Pameran Kerjaya UTM selama dua hari itu yang disertai 50 organisasi, menyediakan kira-kira 1,500 peluang pekerjaan bagi graduan masa hadapan.