Fokus Kepada Pengukuhan Parti Untuk Pastikan UMNO Menang PRU-14- Sahrihan

LEDANG, 21 Mac – Naib Ketua Pemuda UMNO negeri Johor, Sahrihan Jani hari menyarankan agar kepimpinan tertinggi UMNO terus menumpukan kepada aspek pengukuhan parti dan pembelaan rakyat dan mengelakkan dari menjerumuskan parti keramat ini kepada ‘politiking’ berterusan yang akhirnya akan mengundang rasa jelak rakyat.

Jelasnya, Pemuda UMNO Johor melihat bahawa iltizam padu yg ditunjukkan oleh kerajaan Negeri Johor telah membentuk persepsi positif di kalangan rakyat negeri ini dan ini perlu terus digandakan bagi mewujudkan rasa senang di hati rakyat yang mana akan diterjemahkan dalam bentuk undi kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke14 nanti.

20160320174033“Kita juga berharap agar segala konflik dalam parti UMNO ini dapat segera dileraikan…Tunjukkan tauladan politik yang baik kepada ahli diperingkat akar umbi dengan menjunjung tinggi semangat perjuangan dalam UMNO.

“Kita adalah parti yang sangat berpengalaman dalam mengendalikan sebarang konflik dan Pemuda UMNO Johor yakin saf kepimpinan UMNO pusat mampu untuk menyelesaikan segala masalah dengan baik.

“Pemuda UMNO Johor pula akan memainkan peranan untuk kekal komited bersama-sama dengan kepimpinan negeri dan pusat dalam memastikan kemenangan UMNO dan BN pada PRU yang akan datang,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah Sahrihan, ahli UMNO di akar umbi juga disarankan untuk memberi pandangan bagi membantu memperkukuhkan parti dalam persidangan UMNO di peringkat cawangan yang akan bermula 18 Mac ini di negeri Johor.

Kepimpinan tertinggi UMNO pula haruslah berlapang dada untuk menerima teguran bagi memastikan halatuju parti kekal berada pada landasan tepat untuk bersama-sama memacu dan melakar lebih banyak kejayaan pada masa akan datang di dalam memartabatkan agama bangsa dan negara.

“Pemuda UMNO Johor tahu UMNO adalah sebuah parti yang terbuka dan boleh menerima teguran. Maka ambillah pandangan yang bakal diutarakan dalam mesyuarat cawangan walaupun pahit sebagai panduan bagi mengukuhkan parti.

“Kita perlu bertindak segera agar PRU nanti UMNO turut menjadi pemerintah khususnya di negeri Johor ini,” katanya lagi.