Inovasi UTM, IPT Di Johor Bakal Realisasikan Lembah Inovasi Iskandar

JOHOR BAHRU, 21 Mac – Usaha Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menubuhkan Institut Inovasi Strategik bakal merealisasikan hasrat Kerajaan Negeri untuk mewujudkan ‘Iskandar Innovation Valley’ atau Lembah Inovasi Iskandar.

UTM-21-3-2016-1000x563Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata, kepakaran dan pengalaman luas UTM dengan kerjasama golongan pintar dari 47 Institut Pengajian Tinggi (IPT) di Johor akan membantu menjayakan sinergi ini.

“Ikhtiar penubuhan Institut ini akan menjadi penghubung antara IPT di Johor untuk mengetengahkan inovasi, penemuan, idea dan penciptaaan baharu yang boleh dimanfaatkan oleh kerajaan, industri dan masyarakat.

“Malah, kerjasama ini juga akan membantu untuk membangunkan ‘Iskandar Innovation Valley’,” katanya pada Simposium Sinergi IPT, Industri dan Kerajaan Johor dalam Memperkasa Inovasi, di UTM,  hari ini.

Turut hadir Naib Canselor UTM, Prof. Dato’ Ir. Wahid Omar, Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri Johor, Salehuddin Hassan, serta barisan Exco Kerajaan Negeri.

Mohamed Khaled berkata, inovasi antara UTM dan IPT dalam membangun dan mengembangkan sinergi ini akan membantu Kerajaan Negeri merancang dan membangunkan ekonomi Johor.

“Bila wujudnya semangat pada ilmu, ia akan merangsang pencarian dan rasa ingin tahu yang akan membuahkan kreativiti.

“Dan berbekalkan budaya keusahawanan yang secukupnya, ia dikembangkan menjadi inovasi moden bertaraf global seterusnya menembusi pasaran,” katanya.

Beliau turut berkata, penglibatan pihak industri dan kaum pemodal juga bukan sahaja digalakkan, malah diperlukan kerana inovasi, suntikan modal serta kepakaran daripada mereka akan memberi nilai tambah untuk membawa hasil yang dicipta lebih jauh.

Pada majlis sama, beliau turut melancarkan buku berjudul ‘Seiring Mengukir Kegemilangan 30 Tahun UTM di Negeri Johor.

Turut diadakan adalah Pameran Projek Komuniti dan Industri oleh IPT, Agensi dan Industri di Johor bertemakan ‘Inovasi Kearah Kelestarian Komuniti”.