UMNO Peringkat Cawangan Di Johor Bebas Menilai Surat Tun Mahathir – Khaled

JOHOR BAHRU: UMNO peringkat cawangan di Johor ada hak untuk menilai surat terbuka oleh bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

UMNOKetua Perhubungan UMNO Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan segalanya terserah kepada kepimpinan UMNO peringkat cawangan yang memulakan persidangan sejak semalam.

“Sesiapapun boleh tulis surat tetapi kita sedang lalui proses dalaman mesyuarat agung dalaman parti dan terpulanglah pada cawangan-cawangan untuk melihat surat itu bagaimana, itu sahaja saya cakap,” kata Mohamed Khaled menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Ketua Pengarah Biro Tatanegara (BTN) dan Tenaga Penggerak BTN di sini.

Beliau yang juga Menteri Besar Johor mengulas mengenai surat terbuka Dr Mahathir kepada seluruh ahli cawangan UMNO yang bersidang supaya mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Langkah berkenaan disifatkan oleh bekas Presiden UMNO itu sebagai usaha menyelamatkan UMNO sekarang tanpa perlu menunggu pilihan raya akan datang.

Sementara itu, mengulas mengenai tindakan UMNO Pagoh yang mengumpul lebih 1,000 tandatangan sebagai menyokong ‘Deklarasi Rakyat’, Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor percaya perkara itu akan diteliti pucuk pimpinan parti.

“Walau apa pun kita percaya bahawa apa yang dilakukan oleh cawangan-cawangan mesti mereka mempunyai sebab mereka dan saya pasti ibu pejabat akan meneliti perkara ini,” ujar beliau.

Semalam, menerusi mesyuarat cawangan dalam bahagian pagoh yang dirasmikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, sebanyak 1052 tandatangan dikumpul sebagai simbolik menyokong desakan terkandung dalam deklarasi berkenaan.