Taman Ekstrem Pasir Gudang Dijangka Siap Tahun Hadapan- Khaled

PASIR GUDANG, 19 Mac – Kerajaan Negeri Johor akan membina sebuah Taman Ekstrem bernilai RM5 juta di kawasan Pasir Gudang yang dijangka siap pada tahun hadapan.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata antara komponen yang akan dibina adalah kawasan sukan berbasikal ekstrem, kasut roda, wall climbing atau sukan memanjat dinding dan sebuah kolam tema.

1914561_10153718754793173_6119449397710096229_n“Setiap pembangunan yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri, kita tidak pernah mengetepikan permintaan daripada golongan belia,”

“Sebelum ini kita telah membina sebuah laman ‘skate park’ di Padang Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG) yang bernilai RM400,000 dan ia akan diperluaskan menjadi sebuah Taman Ekstrem bagi menempatkan pelbagai aktiviti sukan lasak yang akan dibina secara berperingkat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Belia Extreme anjuran Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Parlimen Pasir Gudang dengan kerjasama Zoomerz Youth Biz Club, di Padang MPPG, di sini, hari ini.

Hadir sama, Yang Di Pertua MPPG, Md Za’anal Misran dan Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad.

Dalam pada itu, beliau turut menyambut baik penubuhan sebuah kelab Gen-X Johor yang bertujuan membantu menyediakan aktiviti-aktiviti untuk golongan belia, selain memberi peluang kepada ahli keluarga untuk beriadah.

“Saya melihat ini adalah langkah baik yang diambil KEMAS dalam memperluas dan mengukuhkan peranan mereka bagi memajukan masyarakat,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Khaled membertitahu bahawa golongan belia adalah sebahagian daripada fokus utama pembangunan Kerajaan Negeri dan salah satunya ialah penubuhan Hab Belia di Hutan Bandar Majlis Bandaraya Johor Baharu (MBJB).

Justeru, Kerajaan Negeri bercadang untuk mewujudkan sebuah lagi Hab Belia di kawasan Iskandar Puteri.

“Tahun depan kita akan tambah satu lagi Youth Hub di kawasan Iskandar Puteri, yang mana kesemua hab ini akan dikendalikan oleh golongan belia dan apabila kedudukan hab ini kukuh kita akan perluaskan ke semua kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” kata Khaled.

Hab Belia Antarabangsa Johor yang diwujudkan di Hutan Bandar merupakan inisiatif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) dan Majlis Belia Iskandar Malaysia sebagai platform kepada belia menjalankan aktiviti serta bermasyarakat. – Jauhar