Sekolah Perlu Terapkan Keseimbangan Antara Akademik Dan Keperibadian Pelajar

PASIR GUDANG, 20 Mac – Pihak sekolah disaran untuk bersama-sama dengan Kerajaan Negeri untuk memainkan peranan dalam usaha mewujudkan keseimbangan dalam bidang akademik dan keperibadian setiap pelajar.
Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata usaha memantapkan keseimbangan itu dapat dijayakan melalui penyertaan dan penglibatan dalam aktiviti kokurikulum.
DSC_0898-1024x576“Penyertaan dalam aktiviti kokurikulum dapat menanam disiplin yang tinggi selain meningkatkan semangat kerjasama dan muafakat.
“Malah, pihak sekolah juga perlu memberi sokongan terhadap penyertaan setiap pelajar dalam usaha mencapai kecemerlangan dan kejayaan dalam bidang kokurikulum,” katanya pada Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Nusa Damai, di sini hari ini.
Turut hadir, Pengarah Pendidikan Negeri Johor Aminudin Adam, Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Gudang Jasni Omar, Pengetua SMK Taman Nusa Damai, Supiandi Yusof dan Yang DiPertua PIBG, Ridwan Kamarudin.
Khaled berkata pihak sekolah juga disaran untuk membantu menjayakan matlamat Kerajaan Negeri dalam mencapai pembangunan dan kemajuan negeri.
“Selain usaha mencapai pertumbuhan ekonomi, kita juga ingin mewujudkan keseimbangan dalam kalangan masyarakat termasuk anak-anak kita dengan memiliki pemikiran yang maju.
“Maka pihak sekolah perlu memainkan peranan untuk menentukan setiap pelajar mempunyai tatasusila yang tinggi,” katanya.
Pada majlis sama, beliau turut merasmikan Surau Al-Insyirah SMK Taman Nusa Damai yang dibangunkan dengan kerjasama PIBG sekolah bagi menjalankan pelbagai aktiviti.
SMK Taman Nusa Damai dengan kapisiti 800 orang pelajar telah diiktiraf sebagai Sekolah Kluster Kecemerlangan, dan turut menerima peruntukan sebanyak RM200,000 daripada Kerajaan Negeri bagi cadangan membina Dataran Tertutup di kawasan sekolah tersebut. – JAUHAR