Kerajaan Sentiasa Berusaha Lakukan Terbaik Untuk rakyat – Najib

KUANTAN, 19 Mac – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata rakyat negara ini tidak perlu mempedulikan gerakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pembangkang menerusi ‘deklarasi Mahathir’ kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) sentiasa berusaha melakukan yang terbaik untuk rakyat.

Perdana Menteri berkata kerajaan sentiasa menjaga kebajikan rakyat dengan melaksanakan pelbagai program yang dapat memenuhi kehendak selain memastikan semua akujanji pada manifesto pilihan raya umum lepas dapat dipenuhi.

Beliau berkata apa yang penting bukan deklarasi atau surat tetapi tindakan yang boleh menguntungkan rakyat seperti projek perumahan mampu milik yang sedang dilaksanakan kerajaan.

“Apa guna memekik sana, memekik sini? Melaung sana, melaung sini? Orang yang dulu maki hamun kita, kita pula dakap dia. Ini tidak patut. Apa yang patut adalah untuk kita jaga hati rakyat,” katanya.

Najib berkata demikian semasa berucap merasmikan majlis penyerahan kunci Perumahan Rakyat 1Malaysia (Pri1ma) Pahang di Perumahan Makmur Sri Fajar Jaya, Jalan Kuantan-Gambang di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib, Setiausaha Kerajaan negeri Datuk Seri Muhammad Safian Ismail dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Najib yang juga Presiden UMNO percaya rakyat akan terus memberi sokongan kepada kerajaan jika kerajaan berkerja keras, tidak sombong dan bersikap rendah diri.

Perdana Menteri sekali lagi berikrar akan terus beristiqamah dalam perjuangannya dengan fokus kepada pembangunan ekonomi negara kerana perkara itu memastikan peluang pekerjaan bertambah, meskipun dirinya ‘diserang’ daripada pelbagai sudut.

“Sebab itu kita kena berusaha tidak membuat angkara atau kata-kata yang buat orang pandang serong pada Malaysia. Bila di luar, saya jumpa dengan ahli kongres Amerika Syarikat dari parti Republican atau Democrat. Mereka tidak burukkan Amerika walaupun dari parti berlainan.

“Mereka tetap kata ‘America is great’ (Amerika hebat). Tapi puak-puak kita ini lain perangainya. Ada yang ke luar negara mengutuk kita. Kita boleh beza pendapat tapi dari segi nak kata Malaysia baik dan berjaya, kita kena (sama-sama) perjuangkannya kerana ini negara kita,” katanya.

Perdana Menteri turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah terpengaruh dengan apa yang tersebar di internet mengenai dirinya kerana perkara itu lebih kepada politik persepsi.

Sementara itu, Najib turut melahirkan rasa gembira kerana agenda perumahan yang merupakan satu daripada keutamaan kerajaan BN berada di landasan yang ditetapkan.

Di Pahang sendiri katanya, sebanyak 39,000 unit rumah PR1MA Pahang telah berjaya dibina sejak Pilihan Raya Umum ke-13 walaupun sasaran awal hanya sebanyak 19,000 unit.

“Kata orang sebagai seorang insan perlu ada 3K yang penting iaitu kerja, kediaman dan kahwin. Kalau bab kahwin, itu memang tak dapat nak ditolong. Tetapi bab kerja dan kediaman adalah tanggungjawab kerajaan yang dipilih oleh rakyat,” katanya.

Beliau berkata rumah PR1MA di Perumahan Makmur Sri Fajar Jaya yang mempunyai tiga bilik dan dua bilik air berharga RM150,000 seunit merupakan pembelian asset yang menguntungkan rakyat.