Pas Cuba Uji Blok Pakatan Baru – Annuar Musa

KUALA LUMPUR, 19 Mac – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa melihat keputusan Pas menubuhkan blok Pakatan Pembangkang yang baru sebagai salah satu cubaan parti terbabit untuk menguji kerjasama dengan parti yang baharu.

Sambil menghormati keputusan berkenaan, beliau turut mengalu-alukannya kerana masing-masing parti ada pendekatan, pemikiran dan strategi.

10464211_10205928638436696_3487338310882872494_n“Saya fikir setiap parti ada hak untuk mereka mengatur strategi masing-masing dan mungkin kalau Pas berpendapat itu cara yang baik (tubuhkan blok pembangkang bersama Parti Ikatan), mungkin mereka ingin mengujinya.

“Pas banyak juga mencuba menguji teori-teori mereka selama ini. Dulu mereka pernah mengguji dalam Perikatan/Barisan, bila keluar mereka cuba teori berjuang secara bersendirian, kemudian mereka duduk dengan Dap dengan niat untuk mendakwahkan Dap, kemudian mereka keluar lagi tapi mungkin kali ini mereka ingin menguji sesuatu yang belum mereka cuba iaitu bekerjasama dengan parti tertentu,” ujarnya.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas penubuhan blok baru pakatan pembangkang antara Pas dan Ikatan selepas mengadakan lawatan ke Kumpulan NSTP baru-baru ini.

Tambahnya, tindakan ini tidak memberikan impak atau kesan kepada UMNO dan BN kerana UMNO/BN mengambil dasar yang sentiasa terbuka.

“Kita bekerjasama dengan semua parti politik termasuk parti pembangkang terutamanya dalam hal-hal yang berkaitan dengan rakyat.

“Kita bekerjasama dengan Dap dalam soal meneruskan pembangunan di Pulau Pinang, menarik pelabur datang melabur ke Pulau Pinang dan perkara-perkara yang menyentuh skop yang tercatat di bawah Perlembagaan Persekutuan.

“Di bawah konsep Kerajaan Persekutuan terus memikul tanggungjawab dan bekerjasama dengan kerajaan Dap. Begitu juga di Selangor, dan begitu juga di Kelantan.

“UMNO dan BN tidak ada masalah dari segi itu, dan begitu jugalah UMNO dengan Pas, kalau Pas merasakan dia nak membentuk blok yang ketiga, saya fikir ia satu pilihan yang harus kita hormati atas apa yang mereka inginkan”, katanya.

Dari segi BN khususnya UMNO pula beliau berpendapat apa-apa bentuk terutamanya orang Melayu, UMNO merasakan berdasarkan dari pengalaman, penyatuan adalah penting.

“Ini kerana kita semua berada dalam keadaan bilangan tidak ramai, kita seharusnya mencari jalan ke arah penyatuan.

“Lagi banyak blok saya tidak fikir ia akan menyumbang ke atas faktor penyatuan dan kalau kita tidak bersatu, kita pecah kelompok kecil-kecil saya tidak fikir akan menguntungkan kepada orang Melayu sebagai kelompok teras,” ujarnya lagi.

Pas hari ini mengumumkan penubuhan permuafakatan baharu bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) sebagai persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14.

Bagaimanapun nama bagi pemuafakatan itu belum diputuskan.

 

Sumber: UMNO-Online