Majlis Peguam Hanya Ghairah Bawa Sentimen Pembangkang

KUALA LUMPUR, 18 Mac  – Tindakan Majlis Peguam yang memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan Peguam Negara untuk tidak meneruskan pendakwaan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak adalah seolah-olah mempertikai keputusan yang dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), ujar seorang pengamal undang-undang, Kamarudin Ahmad.

IMG_5602-300x200Menurutnya, jelas itu merupakan satu perbuatan yang tidak adil kepada Perdana Menteri yang telahpun dibuktikan tidak melakukan sebarang salah laku oleh Peguam Negara.

“Jelas resolusi Majlis Peguam itu hendak membuka semula kertas siasatan ke atas Perdana Menteri. Ini adalah satu perbuatan yang tidak adil kepada Perdana Menteri kerana Peguam Negara telahpun menutup kes siasatan tersebut.

“Perdana Menteri juga berhak diberikan keadilan,” katanya kepada UMNO-Online.

Kamarudin berkata, Majlis Peguam seolah-olah menjadi tunggangan pembangkang kerana sebelum ini dilihat sering kali membawa resolusi yang melibatkan sentimen kepada pihak pembangkang.

“Kita lihat pada kisah-kisah yang lampau, Majlis Peguam sangat lantang apabila ada isu-isu yang dibawa oleh pihak pembangkang dan dalam ini kita dapati ada sentimen sokongan Majlis Peguam kepada deklarasi rakyat yang dibuat oleh Tun Mahathir tempoh hari.

“Sementara itu, resolusi Majlis Peguam yang meminta supaya Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali meletak jawatan merupakan satu kesalahan di bawah Akta Hasutan 1948.

“Ini kerana resolusi itu menghina Peguam Negara yang merupakan salah seorang anggota penting di dalam sistem pentadbiran negara,” tegasnya.

Justeru itu tambahnya lagi, tidak hairanlah Majlis Peguam membuat resolusi tersebut kerana jelas kelihatan sikap mereka yang lebih ‘bersimpati’ kepada pihak pembangkang.

Dilaporkan bahawa Majlis Peguam akan membahaskan pada mesyuarat agung tahunannya Sabtu ini, satu usul meminta Mohamed Apandi mengundurkan diri sebagai Peguam Negara. –

Sumber: UMNO-Online.