Keutuhan Parti Perlu Diutamakan Demi Menang PRU-14

MERSING, 18 Mac – Timbalan Ketua UMNO Bahagian Mersing, Datuk Abd Latif Bandi  berkata, semua ahli boleh bersuara pada mesyuarat cawangan UMNO yang telahpun bermula tetapi harus diingat bahawa pada akhirnya keutuhan parti perlulah diutamakan.

20160317182657Jelasnya, di dalam suasana politik yang semakin mencabar ini sudah pasti ada ahli yang tidak berpuas hati dengan pemimpin yang telah dipilih secara demokrasi namun teguran yang hendak dilakukan harus berhemah dan tidak melanggar perlembagaan parti.

“Kita tidak boleh haling ahli daripada bersuara tetapi tetapi pemilihan telahpun berlaku dan semua pemimpin UMNO yang ada sekarang adalah hasil undian yang dilakukan dulu. Jadi, suka tidak suka kita harus berpegang dan berpaksikan perjuangan UMNO yang sebenar.

“Jangan kerana rasa tidak puas hati maka kita khianat parti kita. Semua ahli kena utamakan keutuhan parti agar UMNO terus utuh dan kukuh untuk membela rakyat.

“Sekarang ini ramai yang sedang menyerang UMNO dari segala sudut. Jika bukan kita akar umbi yang pertahankan, siapa lagi… Kalau kita sayangkan UMNO maka marilah kita bersama-sama sepakat dan terus memastikan parti keramat ini terus kukuh seterusnya menjadi peneraju Negara ini,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah Latif, akar umbi perlu bersatu menjadi benteng kepada UMNO agar segala anasir luar tidak dapat merosakkan parti ini.

Tambahan pula Johor adalah negeri yang sememangnya mahu ditawan oleh pembangkang. Sekiranya mereka berjaya menawan Johor maka ia adalah satu kemenangan besar buat pembangkang kerana Johor adalah negeri kelahiran UMNO.

“Tugas kita ahli UMNO di Johor memang berat. Oleh itu saya amat menekankan perpaduan. Jadikan mesyuarat cawangan ini sebagai satu platform untuk kita kembali mencari dan menemukan titik persamaan.

“Ketepikan apa yang tidak penting kerana agenda utama kita adalah menang pada PRU-14 nanti,” katanya lagi.