Najib Kutuk Serangan Bom Di Ankara

KUALA LUMPUR, 15 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengutuk sekeras-kerasnya insiden pengeboman di Ankara, Turki, pada Ahad lepas, dan berkata terdapat keperluan bagi kerajaan untuk mempertingkatkan usaha mereka dalam kerjasama risikan antarabangsa ke arah memerangi keganasan.

najib kutuk serangan“Tindakan keganasan yang kejam ini tidak ada tempat dalam masyarakat kita dan saya bersetuju dengan gesaan Presiden (Turki) Recep Tayyip Erdogan supaya keganasan ditakrifkan semula untuk memasukkan mereka yang menyokong tindakan seperti itu,” katanya.

Najib menyatakan demikian menerusi status terkini Facebook beliau hari ini susulan insiden letupan kereta di Ankara yang mengorbankan 37 orang dan mencederakan sekurang-kurangnya 125 mangsa.

“Kita mesti sentiasa ke hadapan dalam peperangan menentang keganasan dengan mempertingkatkan usaha kita dalam kerjasama risikan antarabangsa,” katanya.

Najib turut merakamkan takziah yang mendalam kepada kerajaan Turki dan keluarga mangsa yang terjejas akibat serangan itu.

Beliau mengingatkan rakyat Malaysia di Turki supaya sentiasa bertenang dan berwaspada terhadap keadaaan di sekeliling mereka pada setiap masa.

Katanya jika perlu, rakyat Malaysia diminta menghubungi Kedutaan Malaysia di Ankara menerusi talian +(90)312-4463547 atau +(90)312-4463548.