MT Perlu Jadi Benteng Pertahan Presiden Parti – Jais

KLUANG, 15 Mac – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Md Jais Sarday berharap agar Ahli Majlis Tertingi UMNO (MT) menjadi benteng pertahanan kepada Presiden parti dan turun padang untuk memberi penjelasan tentang segala isu yang diperkatakan.

Jelasnya, sejak kebelakangan ini terlalu banyak isu yang timbul termasuklah isu deklarasi rakyat Tun Mahathir bersama Dap sehingga menimbulkan kekeliruan kepada rakyat tentang perjuangan UMNO.

“Dek kerana kekeliruan ini, ahli MT harus segera membantu presiden untuk menjawab segala tohmahan. Kita tidak boleh mengharapkan rakyat faham dengan sendiri tanpa ada penerangan. Jika Ahli MT yang turun memberi penerangan ia sudah pasti memberi impak yang lebih baik dan menyakinkan.

“Kita tidak boleh hanya membiarkan presiden parti menjawab seorang diri. Bahagian-bahagian memang sentiasa menjalankan gerak kerja membantu parti tetapi apabila ada ahli MT yang turun padang ia pasti akan lebih terkesan kepada akar umbi,” katanya kepada UMNO-Johor.

Selain itu, Jais juga berharap isu deklarasi rakyat ini tidak dijadikan satu perkara yang diberi perhatian khusus sehingga mengabaikan tanggungjawab lain seperti fokus kepada gerak kerja Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

“Saya juga berharap ahli MT tidak terlalu fokus untuk mengambil tindakan kepada mereka yang terlibat di dalam deklarasi rakyat ini kerana itu bukan persoalan pokok. Mereka sebenarnya memang memancing kita ke arah itu kerana ia akan memberi ‘politik millage’ kepada mereka.

“Sekiranya dipecat maka isu tersebut akan diguna pula untuk menghentam UMNO. Daripada kita terlalu memberi tumpuan kepada perkara ini adalah lebih baik kita fokus kepada membela nasib rakyat.

“Dalam keadaan ekonomi kita sekarang ini, pelbagai perkara perlu dilakukan agar rakyat dapat meningkatkan taraf hidup mereka. Inilah agenda perjuangan parti yang sebenar,” ujarnya lagi.