Hentikan Politiking Yang Merugikan, Fokus Perkukuhkan Jentera Parti- Samsol Bari

JOHOR BAHRU, 15 Mac – Sudah tiba masanya politiking merugikan dalam parti dihentikan sebaliknya seluruh tenaga kerja difokuskan untuk memperkukuhkan lagi jentera  bagi persediaan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

diari-dato-samsul-bariKetua Penerangan UMNO Negeri Johor, Datuk Samsol Bari Jamali menyifatkan, setiap ahli dan pemimpin UMNO kini wajar memainkan peranan yang lebih penting, iaitu memantau dan menyemak dasar-dasar kerajaan dan parti agar dasar tersebut memberi kesan yang baik kepada rakyat secara keseluruhannya.

“Kita tidak boleh membiarkan emosi dan sentimen menguasai keadaan sedia ada, ia menuntut kematangan serta kebijaksanaan agar yang kita usahakan akan kita dapat, serta yang kita kendong tidak keciciran, kita harus berlapang dada dan tumpukan kepada survival parti dan Kerajaan.

“Apa yang penting sekarang ialah tanggungjawab kita sebagai wakil rakyat yang mewakili kerajaan BN di peringkat Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri, janji dan amanah kita kepada rakyat sangat besar berbanding masalah politik dalaman seperti yang kita hadapi sekarang.

Bak kata pepatah Melayu berbunyi, “Kalau kerbau dipegang pada talinya, maka manusia dipegang janjinya”, janji kita kepada rakyat pada PRU13 yang lalu harus kita laksanakan, masalah dan beban yang dihadapi oleh rakyat hari ini, harus kita cari jalan untuk ringankan bebannya,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Semarang, Air Hitam .

Dalam masa yang sama, beliau turut berharap agar Ketua Penerangan di peringkat UMNO dan Pergerakan Sayap-Sayap Cawangan dan Bahagian di negeri Johor, untuk mula menggerakkan gerak kerja bertemu rakyat memberikan penerangan dan maklum balas terhadap sebarang isu yang dibangkitkan.

“Harapan saya, ketua-ketua cawangan UMNO haruslah memastikan mempunyai Ketua Penerangan yang benar-benar wujud dan bukan hanya di atas kertas atau individu yang dilantik tidak mengetahui pun akan lantikan tersebut. Perkemaskanlah struktur kita kerana ianya sangat penting dan akan membantu kita untuk gerakkerja pada masa akan datang,” tambahnya yang juga Ketua UMNO Bahagian Air Hitam.