Henti Cemuh Kerajaan, Cari Solusi Selesai Isu

JOHOR BAHRU – Berhenti mencemuh, lebih baik bekerjasama bagi mencari penyelesaian mengenai sesuatu isu dibangkitkan.

Ahli Parlimen Johor Bahru, Tan Sri Shahrir Samad berkata, isu yang sering dibangkitkan seolah-olah keadaan ekonomi dan struktur pentadbiran kerajaan sangat goyah namun hakikatnya tidak sedemikian.

12814740_10207789458667143_4557848458129020_n“Jangan hanya lihat kepada kegagalan, cuba renungkan berapa banyak rakyat dibantu seperti bantuan perumahan dan pengurangan harga barang. Perkara mengenai bantuan ini tidak hanya diukur dengan wang ringgit tetapi kelebihan yang diberikan kepada seseorang itu.

“Misalnya di kawasan Johor Bahru, kita dapat lihat beberapa projek perumahan yang diberikan kepada masyarakat dengan sewaan serendah RM200.

“Selain itu, pembukaan beberapa pasar raya harga patut di kawasan ini juga memainkan peranan dalam membantu mengurangkan beban masyarakat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan kedai harga patut imCoop di Larkin Idaman, semalam.

Shahrir berkata, kerajaan sentiasa meletakkan agenda kebajikan di tangga pertama untuk memastikan rakyatnya menerima bantuan sekali gus membela nasib mereka yang tidak berkemampuan.

“Kami di kerajaan, mempunyai pangkalan data mengenai status dan tahap pendapatan masyarakat di negeri Johor mahupun di Malaysia.

“Pelbagai bantuan dan tabung dilancar bagi meringankan beban rakyat, tetapi apabila tidak dibantu ada sahaja mulut yang sebar fahaman yang boleh mengakibatkan tampuk pemerintahan goyah dan dapat nama tidak baik,” katanya. – Sinar