UMNO Perlu Ke Hadapan Agar Tidak ‘Lemas’ Di Usia 70 Tahun

SEGAMAT, 14 Mac– Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Segamat, Bastein Onn berkata, menjelang 11 Mei tahun ini yang bakal menyaksikan UMNO genap 70 tahun, maka parti keramat ini perlu lebih ke hadapan berjalan seiring peredaran masa agar UMNO tidak ‘lemas’ di usia sematang ini.

Jelasnya, tidak dapat dinafikan peranan UMNO sebagai sebuah parti orang Melayu yang telah bersama-sama menentang penjajah, membentuk muafakat, memperjuangkan kemerdekaan dan membangunkan Malaysia.

12794343_1767477663471870_2310161205605663108_nNamun, masa telah berubah dan kini adalah dunia media sosial yang memerlukan pendekatan yang amat berbeza bagi memenangi hati rakyat khususnya orang muda.

“Sepanjang tempuh 70 tahun, sudah pasti pelbagai pengalaman diperoleh dalam menjadikan ia sebuah parti yang matang dan relevan sepanjang zaman. Namun kita tidak boleh leka dengan kejayaan sedia ada kerana dalam masa yang sama kita perlu berusaha mengekalkan tampuk pemerintahan UMNO di Negara ini.

“Sebagai seorang ahli kepada sebuah parti keramat, besar harapan saya agar para pemimpin UMNO dapat mengendalikan parti dan memenuhi kehendak masyarakat seiring dengan usia parti ini.

“UMNO telah berjaya melunaskan janji-janji dan harapan ahli khasnya dan rakyat Malaysia amnya. Banyak yang telah di kecapi bersama. UMNO telah muncul sebagai sebuah parti dominan dan menjadi tulang belakang kepada pembinaan kemajuan negara Malaysia.

“Kita telah berjaya menerajui Bangsa Melayu dan dalam masa yang sama melindungi kaum minoriti lain untuk hidup makmur bersama serta berkongsi kejayaan bersama-sama. Itulah lambang kekuatan sebenar UMNO apabila kita berjaya melindungi bangsa-bangsa minoriti lain untuk hidup aman makmur sehingga hari ini,” katanya kepada UMNO-Johor.

Namun tambah Bastein, UMNO perlu memberi ruang dan mengembalikan kepercayaan kepada orang muda sebagaimana yang pernah dilakukan pada masa dahulu. Orang muda di dalam UMNO sentiasa berharap agar ruang dan peluang dapat diberikan kepada mereka untuk memainkan peranan yang lebih penting dalam menentukan hala tuju dan masa depan negara.

Ini kerana rakyat Malaysia yang akan menentukan tampuk pemerintahan negara di masa hadapan kebanyakan terdiri daripada golongan 40 tahun ke bawah. Tentunya mereka mahukan masa depan yang sesuai dengan umur dan kehidupan mereka kerana merekalah golongan majoriti yang terkesan dengan sebarang polisi yang dibuat negara pada masa ini.

“Media sosial contohnya merupakan elemen penting kepada dunia hari ini. Namun kami sedikit pun tidak bimbang dengan kehadirannya kerana ia merupakan suatu keperluan. Apa yang perlu ditekankan adalah etika penggunaan media sosial di kalangan pengguna agar ia memberikan faedah bersama dan bukannya wadah penyebar fitnah.

“Oleh itu, media sosial perlu digunakan sebaik mungkin oleh UMNO untuk menarik golongan muda kerana ia merupakan platform yang digunakan pada masa kini untuk mencari maklumat.

“Dengan cara ini, UMNO akan lebih dekat dijiwa rakyat. Sekarang ini, segala ruang perlu kita gunakan sebaik mungkin kerana Negara bakal berhadapan dengan pilihan raya umum tidak lama lagi,” katanya lagi.