Rafizi Ramli Sengaja Beri Fakta Tidak Sesuai Berkaitan Tabung Haji: Ehsannuddin

KOTA TINGGI, 12 Mac: Ahli Parlimen Kota Tinggi menyelar sikap Rafizi Ramli , Ahli Parlimen PKR yang sengaja cuba mengelirukan ahli Dewan Rakyat dan orang ramai apabila memberikan fakta kewangan yang tidak sesuai untuk menggambarkan kelemahan pengurusan kewangan lembaga Tabung Haji (TH).

datuk-noor-ehsanuddin-bin-haji-mohd-harun-narrashidHakikatnya agensi itu kata Ahli Parlimen Kota Tinggi, Datuk Noor Ehsanuddin Mohd Harun Narrashid, saban tahun memberikan pulangan dividen yang positif kepada setiap pelaburnya.

“Dalam perniagaan memang ada untung, memang ada rugi, mana ada sentiasa untung sahaja, tapi yang pastinya tiap petanda aras tiap-tiap tahun kita bagi dividen yang baik, bermakna tiap-tiap tahun Tabung Haji ada keberhasilannya yang baik, kita mampu bagi.

“Tapi apa yang Rafizi Ramli cuba lakukan adalah , contohnya dalam 50 portfolio, ada 10 yang rugi tapi 40 yang untung dia tak cakap, sebab itu saya kata dia cuba kelirukan dewan,” katanya.

Terdahulu, Rafizi sewaktu membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang Di Pertuan Agung di Dewan Rakyat berkata, dividen Tabung Haji kepada pendeposit meningkat kerana berlaku penambahan bilangan pendeposit setiap tahun dan bukan kerana keuntungan pelaburan TH sendiri.

Perkara itu bagaimanapun diselar oleh Ahli Parlimen Kota Tinggi kerana Laporan Kewangan TH setiap tahun jelas menunjukkan butiran fakta yang cuba dikelirukan Rafizi iaitu berlaku pertambahan bilangan pendeposit dan begitu juga keuntungan pelaburan TH.

Ini kerana TH dalam pengumumannya sebelum ini melaporkan sebanyak RM3.23 bilion dividen dan bonus telah diagihkan kepada pendeposit dan daripada jumlah tersebut, kadar dividen kepada pendeposit tahun 2015 adalah sebanyak 5 peratus, sementara tambahan bonus haji sebanyak 3 peratus kepada pendeposit yang belum menunaikan haji.

Apa yang menarik bagaimanapun ialah hakikat bahawa Rafizi mengakui memiliki sejumlah wang simpanan dalam TH dan sehingga kini tidak bertindak untuk mengeluarkannya, sekaligus tindakan beliau jelas mengiktiraf keupayaan pengurusan kewangan TH, berbanding cubaan nakal beliau untuk mengelirukan rakyat.

“Rafizi betul-betul cuba kelirukan dewan, kalau lihat isu yang dulu, dia cakap cincin RM24 juta, lepas tu kata dia bergurau, tapi 3 tahun orang memfitnah, jadi kita tak nak dia mengelirukan dewan ni, dia cuba kelirukan, kita tak mahu anak-anak kita terdedah kepada pemikiran yang buruk dan tak membantu dan rosakkan orang lain dimana pemimpin sanggup buat apa sahaja asalkan matlamat tercapai.

“Lama-lama anak akan terkeliru dan buat pertimbangan yang tak baik di masa hadapan,” ujar beliau lagi. -BNBB