JDT Kembali Terajui Carta Liga Super

KUALA LUMPUR, 13 Mac — Juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) kembali menerajui kedudukan teratas liga selepas menang selesa 2-0 ke atas Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Stadium Hang Jebat, Melaka, Ahad malam.

10264826_591174274379209_5711010557080213881_nKemenangan keempat yang diraih skuad Harimau Selatan selepas lima perlawanan menyaksikan mereka mengutip 13 mata, berkelebihan satu mata ke atas pesaing terdekat, Felda United.

Pada aksi berkenaan, JDT terpaksa menunggu sehingga babak kedua perlawanan untuk memecah kebuntuan menerusi sepakan penalti yang disempurnakan kapten pasukan, Safiq Rahim pada minit ke-49.

Pengadil, Wan Mohd Tarmizi Wan Ibrahim memberikan sepakan penalti kepada JDT setelah pemain sayapnya, Mohd Azinee Taib dijatuhkan pemain tuan rumah di dalam kotak penalti.

Penyerang import dari Argentina, Jorge Pereyra Diaz mengesahkan tiga mata mutlak untuk JDT apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-77.

Dalam pada itu, tinjauan Bernama di luar stadium selepas perlawanan mendapati beberapa buah kereta yang diletakkan di bahu jalan, mengalami kerosakan selepas dilanggar oleh sebuah lori.

Sementara itu, pasukan Perak terus kempunan untuk meraih kemenangan sulung selepas lima perlawanan dalam saingan Liga Super musim ini setelah seri tanpa jaringan menentang Terengganu FC II di Stadium Perak, Ipoh.

Keputusan tersebut menyaksikan Perak dan Terengganu FC II kekal di tangga kesembilan dan ke-10.

Liga Malaysia akan berehat seketika selepas ini bagi memberi laluan kepada persiapan skuad Harimau Malaysia menentang Arab Saudi pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2018/Piala Asia 2019 di tempat lawan pada 24 Mac sebelum bersambung pada 4 April ini.