Tuduhan ADUN Senai Manifestasi Sikap Acuh Tak Acuh Pembangkang- Hahasrin

JOHOR BAHRU, 11 Mac –  Pergerakan Pemuda UMNO negeri Johor hari ini membidas tuduhan ADUN Senai, Wong Shu Qi dalam sebuah portal pro-pembangkang semalam yang jelas tidak tepat dan bermotifkan politik semata-mata.

20160312070901Ketuanya, Hahasrin Hashim berkata,  beliau sebagai anak Johor yang melihat dan terlibat secara langsung dengan perkembangan pentadbiran kerajaan negeri Johor dan impak-impak baik yang terjelma mutakhir ini, rasa bertanggungjawab dan melihat tuduhan tersebut ibarat ‘tin kosong’ yang jelas bermotif politik dan mengelirukan rakyat khususnya Johor.

“Pertamanya, Pelan Pembangunan Strategik Johor (PPSJ) bagi 10 daerah yang telah dirasmikan oleh YAB Perdana Menteri baru-baru ini hanyalah sekadar ulangan kepada strategik satu daerah satu industri (SDSI).

Untuk pengetahuan Shu Qi, PPSJ adalah sebuah rangka pelan strategik bagi menjadikan Johor sebuah negeri yang berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020 dengan pertumbuhan per-kapita Johor pada kadar purata 8.7% setiap tahun.

Justeru, sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab PPSJ bukan hanya sebuah pelan biasa sebaliknya menyediakan rangka kerja komprehensif termasuklah menggunakan mekanisme diagnostik pertumbuhan yang dibangunkan oleh Universiti Harvard bagi menentukan bidang keutamaan terpenting bagi memacu pertumbuhan,” ujarnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Tenggara.

Tambahnya, penubuhan Unit Wawasan Pertumbuhan Johor (UWPJ) yang akan melapor terus kepada YAB Menteri Besar bagi melaksanakan agenda & wawasan besar ini. Jelas, ianya bukanlah sebuah laungan retorik semata-mata tetapi usaha dan kajian bersungguh-sungguh beserta data empirikal bagi memastikan pelan pertumbuhan bukan saja baik dan tertib tetapi boleh dilaksanakan dengan baik dalam kemampuan dan kapasiti negeri ini.

Sebagai contoh, salah satu bidang keutamaan bagi pertumbuhan strategik daerah Muar adalah dalam bidang pembuatan perabot. Dalam perkara ini Kerajaan Negeri Johor telah mengumumkan inisiatif bagi memperkasakan kapasiti industri ini dalam Bajet Johor 2016 dengan pembangunan Hab Industri Perabot yang dikenali sebagai Taman Perindustrian Kayu Muar (MTIP) seluas 985 ekar dengan anggaran kos pembangunan keseluruhan berjumlah RM355 juta. Inisiatif Ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri pimpinan Barisan Nasional bagi menjayakan visi pembangunan Johor secara inklusif bukan hanya memfokuskan kepada Wilayah Iskandar dan Pengerang sahaja.

“Sudah pastinya ini memberi nilai tambah kepada setiap lapisan dalam rantaian industri ini sama ada peluang pekerjaan rakyat Johor, pengusaha, pertambahan kepakaran industri sokongan dan lain-lain lagi.

Kedua,  Shu Qi mempersoalkan kerajaan hari ini agar memberhentikan projek pembinaan Pengerang Integrated Petroleum Complex (PIPC) berdasarkan hujahan beliau ketidakstabilan harga minyak dunia.

Sejujurnya ini merupakan satu hujah yang dangkal dan tidak berasas. Shu Qi perlu mendalami selok belok industri minyak dan gas (oil & gas). Rantaian bekalan (supply chain) bagi industri minyak dan gas adalah berdasarkan mekanisme huluan (upstream) dan hiliran (downstream). Ini berdasarkan hipotesis asas bahawa semakin dekat kepada pengguna akhir, semakin hiliran ia dikategorikan,” tambahnya.

Manakala, pengekstrakan bahan mentah atau pengeluaran unsur-unsur rantaian bekalan dianggap sebagai huluan. Rantaian bekalan minyak dan gas biasanya dirujuk dengan cara ini. Syarikat-syarikat huluan mengenal pasti minyak dan gas asli dan melibatkan diri dalam pengekstrakan sumber-sumber ini dari bawah tanah. Syarikat-syarikat ini sering dipanggil penerokaan dan pengeluaran syarikat. Penapis mewakili elemen hiliran rantaian bekalan minyak dan gas.

Maka, desakan DAP bagi menutup atau membatalkan projek PIPC atas dasar ketidakstabilan harga minyak mentah adalah suatu hujah yang cetek, dangkal dan tidak berpaksikan kepada kefahaman yang realistik terhadap tabiat kitaran global sektor minyak dan gas masakini. YB ini perlu memahami hakikat yang  penurunan drastik harga minyak mentah adalah “boom period” atau masa terbaik untuk industri minyak dan gas sektor hiliran dan aktiviti “bunkering” serta pertangkian minyak, yang ketika ini sedang beroperasi dan sedang dibangunkan di Pengerang.

“Kesan positif jangkamasa singkat projek PIPC telah mula dirasai. Ini dapat dibuktikan dengan pertumbuhan sebenar KDNK Johor sebanyak 6.0% pada tahun 2014 berbanding hanya 4.7% pada tahun sebelumnya.

Limpahan daripada projek ini, selain daripada pulangan secara terus kepada Kerajaan Negeri, kita juga memastikan pulangan kepada aktiviti sosio ekonomi kepada penduduk di Pengerang tidak dilupakan.

Untuk itu, Kerajaan Negeri telah menyumbangkan sebanyak RM500 ribu kepada Yayasan Pengerang bagi memastikan manfaat pembangunan di Pengerang dirasai oleh penduduk setempat selain daripada pembangunan inkubator usahawan dengan kos sebanyak RM 4.5 juta yang akan diuruskan oleh Perbadanan Islam Johor,” ujarnya lagi.

Tambahnya, kritikan kepada projek pembangunan Forest City oleh Shu Qi juga adalah kritikan yang bersifat simplistik tanpa melihat kelebihan jangka masa panjang kepada penduduk negeri Johor.

“Bagi menyangkal dakwaan ini, Shu Qi perlu benar-benar memahami model perniagaan bagi projek Forest City. Dengan anggaran pelaburan sebanyak $58.3 bilion (RM175.8 bilion) dalam tempoh 20 tahun akan datang, Forest City dijangka menjana pembangunan ekonomi wilayah Iskandar, koridor pembangunan selatan utama di Johor.

Dengan jumlah pelaburan yang begitu besar secara tidak langsung akan memberikan manfaat kepada penduduk setempat hasil daripada peluang ekonomi sekitar yang diwujudkan daripada projek ini. Tambahan lagi, projek ini akan dilaksanakan secara berperingkat dan Kerajaan Persekutuan telah bersetuju untuk mewartakan kawasan ini sebagai salah satu zon bebas cukai.

Soal pembangunan projek ini tidak dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Wilayah Iskandar sebelum ini bukanlah suatu isu yang utama kerana dengan cabaran ekonomi semasa memerlukan kerajaan pada hari ini lebih fleksibel terhadap cadangan baharu yang dapat memberikan manfaat jangka masa panjang kepada Johor dan dalam  masa yang sama, ini merupakan langkah strategik Kerajaan Negeri Johor menjaga kepentingan rakyat di negeri ini,”ujarnya lagi.

Hujahan tanpa asas Shu Qi bahawa pembinaan keretapi berkelajuan tinggi (high-speed rail project) harus dibatalkan kerana ianya hanya memberikan kelebihan dan manfaat kepada Singapura & Kuala Lumpur sahaja namun sebagai seorang ADUN yang terlibat secara langsung dalam proses legislatif negeri, hujahan YB ini menunjukkan ketidakfahaman beliau dalam soal polisi dan dasar bagi sesebuah kerajaan negeri.

“Bagi menjadi sebuah negeri yang berpendapatan tinggi, komponen pengangkutan merupakan elemen penting bagi memberikan kelebihan strategik dan merancakkan kegiatan ekonomi.

Kewujudan pengangkutan yang efisien antara pusat bandar-bandar utama ASEAN akan memastikan Johor tidak ketinggalan malah berupaya mengambil peluang limpahan ekonomi.

Kewujudan Keretapi Berkelajuan Tinggi ini juga akan pastinya membolehkan syarikat-syarikat besar tanpa rasa janggal malah bersedia menempatkan operasi mereka di Johor kerana kewujudan infrastruktur yang bukan saja lengkap malah menyenangkan,” tambahnya.

Kita perlu menerima hakikat zaman di mana Malaysia hanya mempromosikan tenaga kerja yang murah mahupun mengharapkan sumber asli bumi sebagai sumber pendapatan sudah berakhir. Kita perlu melihat ke hadapan menyediakan ekonomi negeri agar berkemampuan, berketahanan dan berkepakaran tinggi untuk bersaya saing.

“Kerajaan di bawah kepimpinan Barisan Nasional sedar akan hakikat ini.  Untuk terus bersaing dan berada satu langkah di hadapan inisiatif yang agresif, kondusif dan terancang perlu dilaksanakan.

Ini memastikan komponen ekonomi negeri mapan dan lesteri tanpa mencicirkan sesiapa di belakang sejajar dengan Gagasan Johor Berkemajuan.

Sebagai sebuah kerajaan berkebajikan, Barisan Nasional Johor sentiasa memberikan perhatian yang serius dalam usaha meningkatkan taraf hidup bangsa Johor dan bukanlah seperti pembangkang yang hanya memberikan laungan dan kritikan kosong umpama menepik air di dulang tapi terpercik muka sendiri,” ujarnya lagi.