Situasi Denggi Di Johor Kritikal – Ayub

JOHOR BAHARU, 11 Mac — Situasi denggi di Johor cukup kritikal dan membimbangkan berikutan kesedaran masyarakat yang masih di tahap rendah walaupun tahu akan bahaya ancaman penyakit itu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Datuk Ayub Rahmat berkata kes denggi di negeri ini adalah tinggi sehingga mencatatkan peningkatan sebanyak 203 peratus dalam masa sembilan minggu pertama tahun ini.

“Tahun ini cukup kritikal dan keadaan sama akan berulang jika kita gagal menurunkan bilangan kes denggi yang telahpun menjangkau 15,000 kes setakat ini berbanding jumlah anggaran iaitu tidak melebihi 7,000 kes.

10530813_1185170234829104_8297727605182151092_n“Kita sudah kenal pasti beberapa faktor seperti kurangnya kesedaran, tapak pembinaan dan sebagainya. Saya yakin kalau masyarakat tidak mahu berubah, tiada perubahan akan berlaku,” kata Ayub kepada pemberita selepas merasmikan majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2015 Jabatan Kesihatan Negeri Johor.

Beliau berkata pihaknya sangat bimbang sekiranya situasi denggi ini gagal dikawal tahun ini dan terus meningkat.

Ayub berkata sebanyak 4,149 kes kumulatif dicatatkan sehingga minggu ke sembilan tahun ini yang berakhir 5 Mac berbanding 1,368 kes pada tahun lepas dalam tempoh yang sama.

“Dalam tempoh ini, enam kematian dicatatkan melibatkan mangsa berusia 21 hingga 75 tahun, berbanding dua kematian tahun lepas,” katanya.

Beliau berkata kurangnya kesedaran dan kerjasama masyarakat di daerah Johor Baharu umpamanya, menyebabkan masalah denggi ini tidak dapat dielakkan berbanding di daerah lain.

“Kes yang dicatat di daerah Johor Baharu ini paling tinggi iaitu 80 peratus berbanding daerah lain yang hanya menyumbang kira-kira empat peratus sahaja,” katanya.

Beliau berkata perkara itu berlaku kerana kedegilan masyarakat selain terdapat reka bentuk bangunan dan kawasan lapang serta kawasan sempadan yang menyumbang kepada kes denggi ini.

“Kawasan lapang dan sempadan adalah salah satu punca yang kita kenal pasti menyumbang kepada pembiakan aedes,” katanya.

Sementara itu, pada majlis berkenaan seramai 1,831 pegawai dan kakitangan daripada pelbagai skim di seluruh daerah dari Jabatan Kesihatan negeri ini menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.