Rintis Muafakat, Jangan Terperangkap Permainan Politik Pembangkang – Helmi

PONTIAN, 10 Mac – Ahli UMNO terutama di kalangan Pemuda UMNO diminta agar tidak terperangkap dengan permainan politik semasa apatah lagi menerusi tindak tanduk musuh UMNO yang akan sentiasa mengintai dan mengambil peluang untuk menghancurkan UMNO lebih-lebih  lagi menggunakan peluang ini dari dalam kelompok UMNO itu sendiri, demikian peringatan yang diberikan Ketua Penerangan Pemuda UMNO Negeri Johor, Helmi Buang.

20160308231515Ujarnya, apa yang berlaku hari ini, adalah kebiasaan dalam politik, cuma nampak ‘havoc’ apabila melibatkan pemimpin UMNO yang merupakan tunjang kepada pentadbiran kerajaan pada hari ini.

“Jika ia hanya melibatkan penglibatan pemimpin dari pembangkang, keadaan ini tidak akan ‘havoc’ malah masyarakat pun ambil endah tak endah sahaja.

“Inilah hakikatnya…  pembangkang sebenarnya tak sekuat mana lebih-lebih lagi ketiadaan ikon  yang mampu menerajui pakatan mereka menentang UMNO dan BN. Sebab itu, kita harus merintis jalan muafakat dalam UMNO bagi memastikan perpaduan dan persefahaman antara kita akan terus kukuh,” ujarnya melalui aplikasi whatsapp mengulas kemelut politik termasuk isu Deklarasi Rakyat baru-baru ini.

Namun beliau yakin dengan kematangan pemimpin UMNO hari ini, segala isu yang melanda parti dan kerajaan akan dapat diatasi dengan sebaik mungkin.

Dalam masa yang sama ujarnya, di peringkat Jawatankuasa Penerangan Pemuda UMNO Negeri, Pemuda sedang merencanakan pelbagai program lebih kepada mendekati golongan belia agar mereka terus yakin dan percaya UMNO tetap relevan dan sentiasa membantu rakyat khususnya dalam menanganai isu-isu setempat seperti isu pemilikan rumah, peluang pekerjaan dan membantu usahawan muda Melayu.

“Inilah yang wajib UMNO perjuangkan dan bukan sekadar melepaskan batuk di tangga. Keutamaan juga harus diberikan di kawasan luar bandar, memandangkan inilah sokongan yang diberikan sehingga memberikan kemenangan kepada BN pada Pilihan Raya Umum yang lalu.

“Perlaksanaan dan pendekatan oleh pemimpin pada hari ini harus jauh berbeza, tetapi asas perjuangan UMNO tetap sama. UMNO perlu menguasai kerajaan untuk kekal relevan, 70 tahun UMNO ditubuhkan dan selama itu jugaklah parti keramat ini mempertahankan maruah agama, bangsa dan negara ini.

“Inilah perjuangan kita, di peringkat penerangan akar umbi, perlu lebih agresif. Contohnya di Johor, banyak yang telah kerajaan negeri buat untuk meringankan beban rakyat seperti kedai harga patut ImCoop, projek Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ) dan banyak lagi demi memastikan rakyat Johor terus terbela,” tambahnya yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pontian.