Pembangunan Pelajar Politeknik Perlu Lebih Berkesan

MERSING, 10 Mac – Warga pendidik politeknik perlu memainkan peranan dan harus mula mempertimbangkan usaha untuk merintis pembangunan pelajar agar lebih berkesan, sekaligus dapat meningkatkan kebolehpasaran graduan.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Datuk Abd Latif Bandi berkata tindakan itu perlu kerana politeknik kini bukan lagi pilihan alternatif, tetapi menjadi keutamaan anak muda untuk menyambung pengajian mereka selepas tamat persekolahan.

12805740_572924652870850_1049135016517652846_n“Politeknik sentiasa menyediakan kemahiran yang relevan dengan bidang-bidang di dalam industri dan nampaknya ia semakin diterima sebagai institusi utama berbanding Universiti Awam.

“Mengapa perkara ini berlaku? Inilah yang dimaksudkan sebagai perubahan. Perubahan yang menuntut semua warga politeknik untuk sama-sama merelevankan politeknik dengan industri luar dan suasana orang muda zaman sekarang,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Negeri Johor berkata demikian pada Majlis Perasmian Pesta Konvokesyen Pertama Politeknik Mersing Johor 2016, sempena Majlis Konvokesyen Kali Ke-4 Politeknik Mersing, di sini, baru-baru ini.

Majlis konvokesyen itu menyaksikan seramai 179 graduan menerima diploma masing-masing.

Mengenai penganjuran pesta konvokesyen, Abd Latif berkata, ini membuktikan Politeknik Mersing sudah bersedia untuk terus memperkasa peranan golongan belia dalam sebuah institusi pengajian tinggi bagi melahirkan individu yang kompeten pada masa akan datang.

Beliau turut memuji usaha yang dijalankan para pelajar menerusi penganjuran pesta itu dalam usaha menerapkan asas tanggungjawab dan memperkasa kerohanian, dengan menampilkan program-program berbentuk ilmiah, keusahawanan dan penyatuan dalam kalangan masyarakat.

Lebih 35 gerai dan tapak pameran disediakan pada pesta berkenaan yang melibatkan para pelajar dan usahawan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) Mersing. – Jauhar