Johor Teruskan Bantuan Untuk Sekolah Agama

KOTA TINGGI, 9 Mac – Kerajaan Negeri akan meneruskan bantuan kewangan sebanyak RM5000 yang akan diberikan kepada Badan Kebajikan Sekolah Agama Negeri Johor bagi tujuan menampung kos pengurusan dan pentadbiran sekolah terbabit.

image-6Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pasir Raja, Dato’ Dr Adham Baba berkata bantuan berkenaan dijangka akan diberikan dalam tempoh terdekat.

“Pada tahun ini, Kerajaan Negeri Johor bersetuju untuk meneruskan bantuan kewangan sebanyak RM5000 kepada Badan Kebajikan Sekolah Agama Kerajaan Negeri Johor, sebagaimana yang telah dilaksanakan pada tahun lepas.

“Pembayaran itu mungkin akan dilakukan dalam bulan April atau Mei ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Perujian Tilawah Al-Quran Sekolah Agama Peringkat Zon 1 Kota Tinggi di Sekolah Agama Felda Pasir Raja, di sini, hari ini.

Bantuan itu merupakan sebahagian daripada titik sentuhan Bajet Johor 2016 di bawah agenda Menyuburkan Kehidupan Beragama dan Berbudaya.

Ia melibatkan peruntukan berjumlah RM2.82 juta yang akan diberikan kepada Badan Kebajikan di 564 Sekolah Agama di negeri ini.

Tambahnya, beliau berharap dengan adanya bantuan kewangan dari Kerajaan Negeri ini akan dapat membantu pihak sekolah menampung sebarang kekurangan dalam melaksanakan proses pengajaran dan pembelajaran mahupun kegiatan kokurikulum pelajar demi melahirkan generasi Islam berakhlak.

Pada majlis berkenaan seramai 228 peserta daripada 17 buah sekolah terlibat dalam 16 kategori perujian Al-Quran yang dipertandingkan.

Johan keseluruhan dimenangi oleh sekolah-sekolah di Zon Kecil Tenggara.

Terdahulu, guru-guru dan murid serta penduduk kampung turut melaksanakan solat sunat Kusuf sempena gerhana matahari awal pagi tadi. – Jauhar.My