Sukan Muafakat Johor Medium Permuafakatan Rakyat

ISKANDAR PUTERI, 9 Mac – Sukan Muafakat Johor kembali dengan penganjuran kali ke-2 dalam usaha memupuk rakyat Johor untuk turut serta dalam sukan-sukan yang dipertandingkan di samping mengukuhkan permuafakatan diantara rakyat.

SukanMuafakatJohorPengerusi Jawatankuasa Belia,Sukan, Kebudayaan dan Warisan Negeri Johor, Datuk Zulkurnain Kamisan berkata, pertandingan ini akan melibatkan 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) mulai 30 April hingga 1 Mei depan dan dijangka akan dirasmikan oleh Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin.

“Sukan Muafakat Johor ini adalah sebahagian daripada rancangan Kerajaan Negeri untuk menyatupadukan rakyat kita yang berbilang kaum dan memupuk semangat kesukanan serta semangat muafakat Johor selain membentuk sebuah masyarakat cergas dan aktif.

“Tahun ini kita ada buat tambahan iaitu Larian Muafakat yang turut disertai pelajar Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Batu Pahat, dan akan menjadi pembuka tirai acara ini”, katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Peruntukan bernilai RM10,000 kepada setiap DUN sempena Sukan Muafakat Johor 2016 di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, hari ini.

Penganjuran kali ini melibatkan 10,000 peserta daripada kesemua DUN termasuk pelajar UTHM yang akan menyertai empat acara sukan yang dipertandingkan iaitu futsal, sepak takraw, bola jaring dan bola keranjang.

Johan keseluruhan bagi setiap acara bakal menerima hadiah wang tunai RM3,000 dan piala pusingan.

Sukan ini merupakan penjenamaan baharu daripada program Karnival Sukan Jawatankuasa Penyelarasan Mukim-Mukim (JPMM) yang dianjurkan sebelum ini. – Jauhar.My