UTC Konsep Unik, Diakui Model Terbaik Di Dunia – PM

JOHOR BAHARU, 6 Mac — Pusat Transformasi Bandar (UTC) merupakan konsep unik dan satu inovasi yang tidak pernah dilakukan di mana-mana negara sehingga diakui Bank Dunia sebagai model terbaik di dunia.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sejak pembukaannya dimulakan di Melaka pada 2012, UTC di negara ini kini sudah memberi perkhidmatan kepada lebih 27.4 juta orang pengunjung.

image“Seperti yang disebutkan Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapannya, konsep UTC ini begitu unik.

“Hakikat ini telah diakui Bank Dunia dalam lawatan untuk melihat projek UTC pada Jun 2015 di mana Bank Dunia mengakui bahawa UTC merupakan satu-satunya model terbaik di dunia,” katanya berucap merasmikan UTC Johor di perkarangan luar Galleria@Kotaraya, di sini, hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata konsep UTC adalah berdasarkan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS), apabila sesuatu yang diiktiraf sebagai program atau projek yang berimpak besar, ia mesti dilaksanakan dalam masa yang singkat serta tidak menelan belanja terlalu tinggi.

“Projek UTC di mana-mana pun menepati ciri-ciri tersebut di mana umumnya UTC siap dalam tempoh enam minggu sahaja dan kebanyakan bangunan yang dipilih lazimnya adalah bangunan usang atau tidak begitu ekonomik diguna pakai.

“Saya difahamkan, UTC Johor ini dahulunya merupakan pusat beli-belah yang tidak begitu mendapat sambutan. Ada tempat kita pilih UTC dan RTC (Pusat Transformasi Luar Bandar) di mana bangunan itu tidak dipakai sama sekali,” katanya, sambil menambah, bangunan tersebut kemudian menjadi pusat pertumbuhan selepas dikunjungi orang ramai.

Menurut Najib, dengan berkonsepkan perkhidmatan di bawah satu bumbung pelbagai agensi kerajaan, perkhidmatan UTC juga bukan sahaja menjimatkan masa orang ramai malah sekali gus menjimatkan kos mereka.

Beliau berkata perkhidmatan UTC juga ternyata memberi kesan yang besar dari segi penyampaian kerajaan kepada rakyat dengan kaedah sangat inovatif.

“Cuba bayangkan kos perjalanan dan masa, kalau pasport boleh siap dalam tempoh sejam sahaja. Cuba bayangkan sambil tunggu pasport mungkin boleh bayar cukai tanah, bayar zakat, pergi Klinik 1Malaysia buat pemeriksaan dengan hanya bayar RM1 sahaja.

“Kalau gigi sakit, boleh jumpa doktor gigi dengan bayar RM1 sahaja. Bayangkan kalau pergi klinik gigi swasta kena bayar RM200 sekurang-kurangnya. Jadi, ini (UTC) merupakan penjimatan kos, masa bagi kita,” katanya.

Mengenai UTC Johor yang dibuka sejak 2 Julai 2014, Najib berkata sejumlah 1.8 juta orang direkodkan mendapatkan perkhidmatan sejak Julai 2014 hingga Disember tahun lepas.

Beliau berkata Jabatan Imigresen di UTC Johor merekodkan 180,158 permohonan dan pengeluaran pasport pada tahun lepas, sekali gus tertinggi di semua cawangan Jabatan Imigresen seluruh negara, manakala Jabatan Pendaftaran Negara pula merekodkan 193,000 bilangan permohonan tahun lepas, juga tertinggi antara UTC di seluruh negara.

Jabatan Pengangkutan Jalan pula merekodkan kutipan hasil tertinggi antara UTC di seluruh negara dengan sebanyak RM31 juta tahun lepas, kata Perdana Menteri.