UTC Beri Dimensi Baru Kepada Perkhidmatan Awam – Khaled Nordin

JOHOR BAHARU, 6 Mac  — Pusat Transformasi Bandar (UTC) memberi dimensi baharu kepada perkhidmatan awam yang sebelum ini menerima banyak keluhan dan kritikan dari masyarakat, kata Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Katanya, perkhidmatan awam sebelum ini dilabelkan sebagai birokrasi, tidak cekap dan tersendiri, namun tanggapan itu berubah selepas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencetuskan idea untuk mentransformasikan perkhidmatan kerajaan menjadi lebih radikal.

12321391_1038895099482852_7553283572037518871_n“UTC dilahirkan dari ilham Perdana Menteri dengan mengguna pendekatan inovatif yang membawa perubahan besar dalam corak sektor perkhidmatan awam,” katanya berucap dalam majlis perasmian UTC Johor di perkarangan bangunan Galleria @ Kotaraya, di sini hari ini.

Majlis tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, sambil disaksikan timbalannya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi serta isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Menurut Mohamed Khaled, perubahan itu dilakukan bagi membolehkan rakyat berurusan dengan pantas, selesa dan tidak dibebani pelbagai kerenah birokrasi.

“Kerajaan negeri menerima cadangan kerajaan Persekutuaan untuk membuka sebuah UTC di Johor Baharu kerana percaya pusat tersebut mampu memberi manfaat kepada kira-kira 1.3 juta orang, khususnya rakyat Johor sendiri.

“Hasil komitmen kedua pihak, bangunan Galleria berjaya diubahsuai dalam tempoh enam minggu dan kini menempatkan pelbagai agensi kerajaan negeri, persekutuan, badan berkanun dan sektor swasta di bawah satu bumbung iaitu UTC,” katanya.

Beliau berkata, berkeluasan 257,177 kaki persegi, UTC Johor merupakan UTC terbesar dalam negara.

“Semenjak dibuka pada 2 Julai 2014, UTC Johor menerima kunjungan seramai kira-kira 1.8 juta orang bagi mendapat pelbagai perkhidmatan di sini,” katanya.