PPSJ Bukti Komitmen Kerajaan Negeri Sokong ETP – Khaled

ISKANDAR PUTERI, 6 Mac — Pelan Pertumbuhan Strategik Johor (PPSJ), yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini adalah bukti komitmen padu kerajaan negeri Johor dalam menyokong usaha kerajaan pusat menjayakan Pelan Transformasi Ekonomi (ETP) secara lebih berkesan.

12806209_1038895072816188_552428270423700534_nMenteri Besar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pelaksanaan usaha itu perlu kerana Johor tidak mahu sekadar menjadi pemerhati serta penerima pasif limpahan ekonomi Malaysia.

Namun, Johor mahu menjayakan usaha itu mengikut cara tersendiri, dengan melihat potensi dan kelebihannya serta sumber dan hasil yang terkandung dalam lingkungan Johor.

“Kami percaya setiap dasar kerajaan pusat harus disambut dan diberikan tafsiran yang sesuai dengan kepentingan setempat, dan saya ingin menyakinkan bahawa apa yang kita ingin lakukan di Johor hari ini, bukan sahaja akan menguntungkan Johor bahkan Malaysia secara keseluruhan.

Ini memandangkan Johor yang membangun, progresif dan maju, akan turut sekali menyumbang kepada Malaysia yang progresif, maju dan membangun.

“Oleh itu, pelan ini adalah hadiah tulus Johor untuk Malaysia,” kata Mohamed Khaled ketika berucap pada perasmian pelan itu serta Rancangan Pembangunan Komprehensif II Iskandar Malaysia (CDP II) di Kompleks Sukan Educity, di sini hari ini.

Mohamed Khaled berkata selain membantu kerajaan pusat menjayakan ETP, PPSJ juga berperanan membongkar potensi sebenar ekonomi Johor, dengan tidak hanya melihat kepada Iskandar Malaysia, Johor Baharu dan Pengerang semata-mata.

Katanya menerusi PPSJ, kerajaan negeri mengariskan beberapa perkara, termasuk setiap daerah dalam Johor perlu dibangunkan potensinya mengikut sektor tersendiri.

Sebagai contoh, Segamat dibangun dengan pertanian, Mersing sebagai kawasan eko-pelancongan, Batu Pahat untuk industri pembuatan mapan serta Johor Baharu sebagai lembah perdagangan antarabangsa.

“Selain itu, kita ingin menumpukan kepada pertumbuhan yang akan menghasikan kesan domino ekonomi menerusi pewujudkan peluang pekerjaan, penyuburan keusahawanan, menambah baik prasarana serta pelaburan untuk peningkatan dalam pembangunan bakat dan kemahiran.

Malah, melalui pertumbuhan, lebih banyak cukai dapat dikutip, sekali gus membolehkan kemudahan awam ditambah baik dan diperbanyakan.

“Semua ini akan menghasilkan kemakmuran dan kesejahteraan kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata menerusi PPSJ, kerajaan negeri juga akan mengembalikan ekonomi berasaskan eksport, yang turut memmanfaatkan pelbagai perjanjian dua hala dan pelbagai hala seperti Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA).

“Jika kita semak kembali kenapa Malaysia begitu berjaya sebagai sebuah negara membangun, jawapannya ialah kerana dasar kita dari awal lagi berorientasikan eksport,” katanya.

Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas itu berkata pelan ini juga menyasarkan penjanaan kemakmuran bagi setiap peringkat masyarakat, dengan semua orang diberikan ruang serta peluang untuk mengumpul kekayaan dan kemakmuran.