Pilihanraya Menjadi Ujian Litmus Kerajaan Memerintah

JOHOR BAHRU, 6 Mac – Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak hari ini menegaskan proses pilihanraya umum akan menjadi ujian litmus bagi kerajaan yang memerintah.

image-1Ketika ditanya berhubung pandangannya tentang tahap keyakinan rakyat terhadap kepimpinan yang diterajuinya, beliau berkata pilihanraya akan memberikan cerminan sebenar tahap keyakinan rakyat.

“Buat masa ini, pihak kerajaan akan terus berkhidmat untuk rakyat kerana kita telah diberi mandat dan mempunyai majoriti dalam parlimen, malah parti juga masih teguh menyokong kerajaan sedia ada. Jadi, kita akan teruskan kerja kita,” katanya pada sidang media selepas merasmikan UTC Johor, di Galleria Kota Raya, di sini, petang tadi.

Dalam pada itu, Najib yang juga Presiden UMNO, menegaskan sebarang keputusan berhubung tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Shafie Apdal dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang bersekongkol dengan pihak pembangkang dalam Deklarasi Rakyat baru-baru ini akan diputuskan oleh Majlis Tertinggi UMNO.

“Itu terpulang pada Majlis Tertinggi (MT) dan Jawatankuasa Disiplin. Tetap ada perlembagaan, tatacara dan disiplin parti.

“Saya tak mahu buat keputusan secara bersendirian, kita amalkan prinsip tanggungjawab bersama dalam UMNO dan MT selaku badan yang paling utama akan membuat keputusan berkenaan perkara sebegini,” jelasnya. – Jauhar.My