UMNO Muar Harap Muhyiddin Terus Beri Sumbangan Kepada Parti Dan Rakyat

MUAR, 4 Mac — UMNO Bahagian Muar berharap dengan keputusan kekal dalam parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan terus memberi sumbangan kepada parti dan rakyat.

Ketua UMNO Bahagian Muar Datuk Razali Ibrahim berkata pihaknya menyambut baik keputusan Muhyiddin semalam untuk terus berada dalam UMNO.

12799395_10203978594504664_2277609096763336944_nSemalam, Muhyiddin yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh dalam satu sidang media khas bersama-sama Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengumumkan untuk terus kekal dalam parti kerana mahu memperbaiki parti dari dalam.

“Menjadi tanggungjawab utama semua ahli parti untuk memastikah bahawa UMNO terus kekal sebagai kerajaan.

“Kita harap Muhyiddin akan terus memberi sumbangan dalam usaha memperkukuhkan parti dalam apa jua peringkat termasuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti,” kata Razali selepas menghadiri Program Mengubah Destini Anak Bangsa di Bangunan UMNO Bahagian Muar di sini Jumaat.

Razali berkata UMNO Bahagian Muar turut tidak terkecuali untuk bekerja keras bagi memastikan parti tetap relevan dan terus mendapat kepercayaan semua lapisan masyarakat khususnya dalam kalangan orang Melayu serta Bumiputera di negara ini.

Beliau yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata usaha memperkasakan UMNO perlu dilakukan secara menyeluruh bagi memastikan kebajikan rakyat pada masa kini dan masa hadapan terus terpelihara.

Mengenai Program Mengubah Destini Anak Bangsa, Razali berkata ia merupakan sesi khidmat nasihat berkaitan pemilihan jurusan bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

“Pelajar lepasan sekolah perlu dibimbing…kita tidak mahu mereka tersalah membuat pilih bidang pengajian ketika membuat pemohonan sehingga menyebabkan mereka tercicir memasuki universiti ” katanya.