PM Bakal Rasmi Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor

ISKANDAR PUTERI, 4 MAC: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak akan melancarkan Pelan Pertumbuhan Strategik Negeri Johor sempena lawatan kerja rasminya ke negeri itu, Ahad ini.

Beliau akan merasmikan dokumen itu serta Rancangan Pembangunan Komprehensif ke-2 Iskandar Malaysia (CDPii) pada majlis pelancaran di Stadium Educity, Iskandar Puteri dekat sini.

17Pelan tersebut merangkumi visi strategik dan komprehensif pembangunan di Johor bagi membangunkan setiap daerah di negeri itu mengikut lapangan kebitaraannya untuk lima tahun akan datang.

Dokumen CDPii pula menggariskan tumpuan kepada aspek pengurusan sosial dan alam sekitar serta prospek pembangunan ditawarkan di dalam Wilayah Pembangunan Iskandar Malaysia.

Sebelum majlis pelancaran itu, Najib dijangka menghadiri perasmian projek pembangunan hartanah Forest City di Gelang Patah, yang akan dirasmikan oleh Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar.

Projek itu bakal mewujudkan lebih 220,000 pekerjaan kepada penduduk tempatan menjelang 2035, menerusi penglibatan dalam lapan sektor pertumbuhan industri termasuk bidang pendidikan, penjagaan kesihatan dan pelancongan.

Pembinaannya akan dibuat di atas empat buah pulau buatan manusia berkeluasan lebih 1,400 hektar yang bercirikan konsep mesra alam.

Ia merupakan antara projek pembangunan hartanah terbesar di Asia dari aspek jumlah unit hartanah yang akan dibangunkan dan akan dibangunkan dalam sembilan fasa bagi tempoh 20 tahun.

Perdana Menteri kemudiannya akan merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Johor di Galleria, Johor Bahru sebelum mengakhiri lawatan kerjanya ke Johor.

UTC yang ke-8 dirasmikan oleh Najib selepas merasmikan dua pusat yang sama di Kuala Lumpur, dan masing-masing satu di Melaka, Perak, Pahang, Kedah dan Sabah itu, adalah yang terbesar dalam negara.