Jangan Jadi Gunting Dalam Lipatan Untuk Gagalkan Mesyuarat Cawangan UMNO

KLUANG, 04 Mac – Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Johor, Md Jais Sarday berkata, mesyuarat cawangan UMNO yang bakal bermula pada Mac ini seharusnya menjadi platform untuk semua ahli UMNO di akar umbi menilai semula prestasi pencapaian gerak kerja jentera parti masing-masing dan sejauhmana usaha menambah ahli serta pengundi itu berkesan.

Ujarnya, mesyuarat bahagian juga perlu dijadikan medan untuk menyampaikan suara hati rakyat di akar umbi terhadap isu semasa atau masalah setempat.

a5874c24-8628-4026-a9c6-6b7bf151afec“Kita perlu ingat, Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sudah semakin hampir dan ia menjadi penentuan samada UMNO akan terus berkuasa atau sebaliknya. Oleh itu semua pemimpin dan ahli mestilah menumpukan usaha ke arah memperkukuhkan parti.

“Pemimpin yang baik sentiasa mendengar suara hati pendukungnya dan ahli yg baik pula akan sentiasa memberi inspirasi kepada pemimpin untuk terus memperkukuh dan memperkuatkan parti.

“Parti UMNO sedang berhadapan dengan persepsi negatif terhadap pemimpin tertinggi yang dimainkan oleh media sosial pembangkang… oleh itu sebarang rasa tidak puashati mestilah disuarakan dengan cara yang baik supaya tidak mengendur dan melemahkan kekuatan parti,” ujarnya kepada UMNO-Johor.

Tambah Jais, perasaan tidak puashati tersebut tidak boleh diterjemahkan dalam bentuk menggagalkan mesyuarat cawangan atau bersekutu dengan pembangkang yang sentiasa mencari tali barut dalam UMNO. Ia bukan sahaja menyalahi peraturan parti, malah mengkhianati perjuangan bangsa.

“Sejak UMNO ditubuhkan, parti keramat ini sentiasa berhadapan dengan pelbagai krisis dan masalah termasuklah krisis pengasasnya, Dato Onn yang meninggalkan parti dan menjadi punca perpecahan yang melahirkan beberapa parti baru dan namun perjuangan tetap diteruskan sehingga kini.

“Setiap pemimpin dan zamannya mempunyai cabaran yang berbeza, namun semuanya itu akan menambah kematangan kepada pelbagai lapisan pemimpin parti. Hanya pemimpin yang tabah, cekal dan berwibawa dalam menghadapi pelbagai ujian sahaja yang akan dapat meneruskan kepimpinan parti untuk menongkah arus kemajuan zaman.

“Oleh itu, kita sebagai ahli parti perlu lebih fokus bagi mendukung perjuangan parti UMNO di dalam berhadapan dengan sebarang cabaran dan rintangan. Janganlah kita menjadi gunting dalam lipatan hanya kerana tidak berpuas hati dengan pemimpin sehingga menjadi punca kepada kegagalan UMNO,” tambahnya lagi.