E-visa: Kedatangan Pelancong China Ke Johor Dijangka Meningkat

JOHOR BAHARU, 2 Mac — Kerajaan negeri Johor yakin kedatangan pelancong dari China ke negeri ini meningkat 10 peratus tahun ini menerusi pelaksanaan program visa elektronik (e-visa) serta maklumat dan pendaftaran pelancongan elektronik (ENTRI).

10257048_969211276463628_4442685267030529350_nPengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Johor Datuk Tee Siew Kiong berkata pihaknya mengalu-alukan inisiatif itu memandangkan pelancong dari China merupakan pasaran ketiga terbesar di Johor.

“Pelaksanaan ini sekali gus turut dapat menggalakkan rakyat China yang berada di Singapura untuk melancong ke Johor. Difahamkan terdapat kira-kira sejuta rakyat China berada di Singapura termasuk mereka yang menjalankan perniagaan, belajar atau menetap di negara itu,” katanya kepada pemberita.

Beliau menghadiri majlis makan malam bersama Persatuan Ejen Pengembaraan Kemboja (CATA) dan Persatuan Ejen Pengembaraan Asia Pasifik (PATA) Cawangan Kemboja di sini malam tadi.

E-visa dan ENTRI dilancarkan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Beijing, China semalam.

Untuk masuk ke Malaysia bermula semalam hingga 31 Dis, pelancong China boleh memohon visa secara dalam talian dan mencetak sendiri e-visa.

Tee berkata seramai 628,087 pelancong China berkunjung ke Johor pada 2014 dan seramai 313,939 orang dari Jan hingga Jun tahun lepas.

Beliau berkata pihaknya menggalakkan pengusaha pelancongan di Johor supaya menyediakan pakej pelancongan bagi menarik kehadiran pelancong China.

“Kita juga yakin dengan promosi pelancongan lebih agresif di China termasuk di Chengdu dan Xi’an, kita dapat menarik lebih ramai pelancong dari negara itu untuk berkunjung ke Johor yang menyediakan pelbagai pusat pelancongan menarik seperti taman tema,” katanya.