FLLSPG Kini Jadi Identiti Negara

JOHOR BAHRU 27 Feb. – Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang (FLLSPG) kini menjadi identiti negara, sekali gus mengangkat martabatnya daripada permainan tradisional kepada pertandingan bertaraf antarabangsa.

Kini lokasi penganjurannya di Bukit Layang-layang, Pasir Gudang, dekat sini turut menjadi sebutan peminat permainan tersebut dari seluruh dunia yang bukan sahaja dimeriahkan dengan permainan layang-layang, malah pelbagai acara lain.

image-3FLLSPG diperakui sebagai permainan menarik dan terbaik dalam sirkit festival negara-negara yang terlibat dalam penganjurannya menerusi penyertaan sebahagian besar peminat permainan berke­naan dari seluruh dunia.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Md. Za’nal Misran yang berbangga dengan perkembangan tersebut berkata, penganjuran FLLSPG ke-21 pada kali ini berjaya menarik lebih 1,000 peserta dari 42 buah negara.

“Penyertaan pemain luar negara dalam FLLSPG meningkat saban tahun, malah bilangan mereka di luar jangkaan. Pemain dan pereka layang-layang berlumba-lumba ingin menyertai FLLSPG kerana mahu mengharumkan nama negara masing-masing.

“Perkembangan ini boleh kita lihat dan bandingkan sejak pertama kali penganjurannya pada 1995 yang hanya mendapat pe­nyertaan dari lima negara dengan 11 peserta antarabangsa,” katanya dalam majlis perasmian FLLSPG malam tadi.

Simbolik perasmian FLLSPG ke-21 disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan Dalam Negeri dan Kepenggunaan negeri, Datuk Tee Siew Kiong; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Normala Abdul Samad dan Pre­siden Majlis Pelayang Malaysia, A. Rahim Nin.

FLLSPG ke-21 yang berlangsung selama lima hari bermula Rabu lalu itu dianjurkan MPPG dengan kerjasama Jabatan Pelancongan Negeri Johor, Persatuan Pelayang Johor dan Majlis Pelayang Malaysia akan dicatat dalam Malaysia Book of Records sebagai penyertaan terbanyak peserta antarabangsa.

Antara peserta antarabangsa yang mengambil bahagian ialah dari China, Indonesia, Australia, Jepun, England, Rusia, Thailand, Brazil, Jerman, Belanda, Poland, Ukraine, Georgia, Zambia, Thailand dan Singapura.

Md. Za’nal berkata, FLLSPG mampu mengembangkan permainan tradisional itu ke peringkat global pada masa depan, sekali gus mengelakkannya daripada dilupakan selain mampu menarik minat golongan muda untuk menyertainya.- Utusan