UMNO Johor Bakal Berdepan Cabaran Besar

JOHOR BAHRU – UMNO Johor bakal berdepan dengan cabaran besar berikutan keputusan Majlis Tertinggi (MT) menggantung jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden parti itu.

12144691_568057233357592_5573538461173027550_nPengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin, bagaimanapun menyeru agar ahli UMNO Johor termasuk di peringkat akar umbi sentiasa mengutamakan kepentingan parti dan terus bekerja keras demi parti.

“Saya telah maklumkan sebelum ini akan ada yang setuju dan akan ada yang tidak gembira dengan keputusan itu.

“Saya mengakui bahawa kita di Johor akan menghadapi cabaran besar dan kita perlu lebih bekerja keras demi parti,” katanya pada sidang media selepas menghadiri majlis angkat sumpah Jawatankuasa Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Malaysia serta Jamuan Tahun Baharu Cina Persatuan Peniaga Pasar Lambak Bergerak Johor Selatan, di Johor Bahru, hari ini.

Mengulas mengenai tindakan UMNO Bahagian Pagoh yang menolak keputusan MT, Mohamed Khaled berkata, beliau menyerahkan perkara berkenaan kepada UMNO pusat.

“Saya belum menerima laporan secara rasmi mengenai perkara ini. Ia di bawah bidang kuasa UMNO pusat dan saya percaya mereka akan melihat perkara itu sebaik mungkin,” jelasnya.