Pelan Tindakan LCS Iskandar Malaysia Diserah Kepada Lima PBT Johor

JOHOR BAHARU, 26 Feb — Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin hari ini secara rasminya menyerahkan Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Malaysia (LCS) 2025 kepada lima Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

imagePihak berkuasa tempatan itu terdiri daripada Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG), Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan Majlis Daerah Pontian (MDP).

Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) dalam kenyataannya, di sini berkata, ia diserahkan kepada Pengerusi Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ayub Rahmat dan lima lagi Yang Dipertua PBT selepas tamatnya mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Persetujuan IRDA, hari ini.

Dalam mesyuarat itu, beliau turut menyampaikan sijil penghargaan kepada Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Wahid Omar, yang mewakili sekumpulan pasukan Malaysia dan Jepun bagi projek Masyarakat Rendah Karbon itu.

Sebelum ini, pelan tindakan itu dilancarkan oleh Mohamed Khaled bersama Pengerusi Bersama IRDA iaitu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak selepas mesyuarat Anggota Pihak Berkuasa IRDA yang ke-18 di Putrajaya, 14 Dis lepas.

Menurut Mohamed Khaled, penyerahan pelan itu bertujuan memastikan hala tuju Pelan Tindakan Masyarakat Rendah Karbon Iskandar Malaysia (LCSBPIM) 2025 dilaksanakan dengan efektif di peringkat tempatan.

“Pelan ini mengenali dan bertindak balas terhadap ciri persekitaran tersendiri, ekonomi dan sosial, kekuatan, potensi dan isu unik kepada setiap pihak berkuasa tempatan dan kawasan perbandaran mereka.

“Ia juga menyediakan rangka kerja komprehensif dan terperinci untuk mengejar pertumbuhan hijau mapan serta pembangunan yang berdaya tahan di Iskandar Malaysia,” katanya.

Sementara itu, Ketua Eksekutif IRDA, Datuk Ismail Ibrahim berkata, pelan itu tidak hanya menekankan pembangunan karbon rendah serta ekonomi hijau, malah diselarikan dengan rancangan pembangunan strategik bagi setiap pihak berkuasa tempatan untuk memastikan kesemua perancangan, dijalankan secara berkesan.

Sebelum ini, penyelidikan pelan itu, melibatkan pelbagai pihak antaranya Agensi Kerjasama Antarabangsa Jepun (JICA) serta Agensi Teknologi dan Sains Jepun (JST) selaku penyumbang dana di bawah Pembangunan Mapan untuk Kerjasama Penyelidikan Teknologi dan Sains, UTM, Universiti Kyoto, Universiti Okayama dan Insitut Pengajian Alam Sekitar Nasional Jepun (NIES).

Mereka mendapat kerjasama erat daripada IRDA, MBJB, MPJBT, MPPG, MPKu dan MDP.