UMNO Johor Akur Keputusan MT Gantung Jawatan Muhyiddin Sebagai Timbalan Presiden

JOHOR BAHARU, 26 Feb — UMNO Johor akur dengan keputusan Majlis Tertinggi (MT) UMNO menggantung jawatan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Presiden parti berkuat kuasa serta merta.

12802971_567705210059461_6318163603669827350_nPengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin percaya keputusan MT UMNO itu akan menyebabkan ‘ada yang suka dan ada yang tidak suka’.

“Saya tidak tahu apa dibincangkan dalam mesyuarat itu, tetapi kalau diambil daripada kenyataan dibuat dalam akhbar sebelum MT, ia merujuk kepada soal betapa perlunya Timbalan Presiden membantu dan menjayakan tanggungjawab Presiden.

“Saya percaya, apapun keputusan dibuat, akan ada yang suka, akan ada yang tidak suka tetapi hakikatnya kita bergerak dalam parti dan keputusan itu dibuat oleh MT. Maka saya percaya, kita perlu akur,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyempurnakan perasmian Festival Layang-Layang Sedunia Pasir Gudang kali ke-21, di sini malam ini.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Besar Johor, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai keputusan MT UMNO petang tadi, menggantung jawatan Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden parti berkuat kuasa serta merta.

Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilaporkan sebagai berkata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan menjalankan tugas-tugas timbalan presiden itu.

Ketika ditanya sama ada UMNO Johor akan terjejas dengan keputusan itu, Mohamed Khaled berkata: “Soal jawatan Timbalan Presiden adalah jawatan yang dipilih dari seluruh negara dan bukan dari Johor semata-mata”.

Dalam pada itu, beliau berkata UMNO Johor akan terus menumpukan usaha melaksanakan penyatuan dalam kalangan anggota UMNO di negeri itu.